PRN Sarawak: Mana lebih penting, politik atau nyawa? - PSB

Shafik Ahmad
Oktober 25, 2021 05:50 MYT
Setiausaha Agung PSB George Lo mempersoalkan mengapa PRN12 perlu diadakan ketikapenggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU)akibat COVID-19 masih lagi tinggi. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) mempertikaikan usaha Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang didakwa mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung PSB George Lo mempersoalkan mengapa PRN12 perlu diutamakan sedangkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital susulan COVID-19 masih lagi tinggi.
“Tangguh dahulu PRN12 sekurang-kurangnya sehingga 1 Februari tahun depan, buat masa ini penggunaan katil di ICU bagi pesakit COVID-19 masih tinggi iaitu 80 peratus.
“Malah Sarawak juga merekodkan jumlah kematian akibat COVID-19 terbanyak pada 23 Oktober lalu,” tegasnya dalam satu kenyataan
Tambahnya situasi buruk mungkin akan berlaku sehingga menyebabkan hospital berdepan masalah besar.
“Ramai yang mungkin kehilangan nyawa sekiranya pilihan raya negeri tetap diadakan.
“Mana lebih penting, politik atau nyawa rakyat ?,” soalnya.
Dalam pada itu, George Lo turut membidas kenyataan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini bahawa PRN12 perlu diadakan kerana kerajaan sudah tiada mandat.
Untuk rekod, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menurut George Lo, GPS memerlukan mandat baharu pada Jun lalu bukan sekarang.
“Jadi mereka (GPS) boleh menunggu sehingga tahun depan apabila perintah darurat ditamatkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Dengan erti kata lain, katanya tindakan GPS untuk mempercepatkan pilihan raya diadakan sebelum 31 Disember ini menunjukkan mereka mahu mengelak pelaksanaan Undi 18.
#PRN Sarawak #COVID-19 #Gabungan Parti Sarawak #Parti Sarawak Bersatu