KUCHING: Pemimpin yang sentiasa memikirkan dan mementingkan rakyat adalah antara nilai yang diambil kira oleh para pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan datang. 

Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mereka yang ingin menjadi wakil rakyat perlu sedia berkorban untuk segala hal melibatkan masyarakat.

“Saya selalu bercakap dengan beberapa anak muda, kalau hendak menjadi pemimpin yang sejati, perlu memikirkan setiap orang, dan akan bertahan lama.

“Tetapi, sekiranya anda hendak menjadi ahli politik semata-mata, boleh bercakap mengenai hal-hal idea populis, namun (jika) untuk populariti sendiri, dan disalahgunakan, ini tidak berguna,” katanya dalam program Agenda AWANI: Tumpu politik pembangunan demi rakyat, pada Rabu.

Katanya lagi, semangat tersebut perlu ditanam dalam diri setiap pemimpin bagi memastikan rakyat memiliki minda berpengetahuan yang terbela.


Agenda AWANI: Tumpu politik pembangunan demi rakyat

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, meskipun tampuk kepimpinan berubah-ubah, namun keserasian antara kerajaan negeri dan persekutuan perlu tetap ada.

Ia dapat dilihat apabila kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018 menyaksikan banyak projek yang dibatalkan dan ditarik balik.

“Cuma, kami bertuahlah di Sarawak sebab ada kerajaan negeri, namun lambat untuk memulakan, kerana keadaannya sudah berbeza. 

“Apabila keserasian tidak ada antara kerajaan negeri dan persekutuan, maka ia jadi sukar," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyeru agar perkara tersebut terus diperjuangkan demi kebaikan bersama.

"Jika berubah lagi, jangan menyalahkan kami sekiranya banyak perkara tidak dapat dilaksanakan,” kata Nancy.

Beliau menyifatkan politik pembangunan di Sarawak akan terus menjadi tema yang perlu diutamakan dan diamalkan kerana merasakan negeri itu masih lagi ketinggalan.

Ia perlu lebih inklusif dengan memfokuskan kepada pendidikan, infrastruktur, sosioekonomi dan bantuan kepada golongan belia, tambahnya.