KUCHING: Selepas lebih empat jam dirakam keterangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan dibenarkan pulang sekitar 1.30 petang hari ini.

Lee Shan ketika dihubungi Astro AWANI berkata beliau hanya memberi kerjasama kepada SPRM selepas diberi notis hadir pemeriksaan mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009.

“Saya berada di sana (pejabat SPRM) sekitar jam 9 pagi sehingga 1.30 petang, saya disoal siasat oleh lebih 10 orang pegawai.

“Mereka menahan saya kerana kesalahan SPRM, apabila saya tanya mereka apakah kesalahan saya, mereka tidak memberitahu..mereka tunjukkan saya Seksyen 16(B)(a) jadi saya tanya dia (pegawai) apa kesalahan ini?, dia tidak dapat memberi penjelasan,” katanya.

Ditanya sebab penahanan tersebut, Lee Shan tidak menolak kemungkinan siasatan itu dibuat dipercayai ada kaitan dengan video yang dimuat naik olehnya yang meminta agar rakyat Sarawak untuk pulang mengundi.

“Saya rasa ia berkaitan dengan video yang tular sebelum ini, saya mengajak orang untuk pulang mengundi, pasport PBK, saya rasa disebabkan itulah saya dipanggil untuk proses siasatan,” jelasnya.

Terdahulu, Lee Shan dilaporkan diberhentikan oleh sebuah kenderaan yang membawa empat pegawai SPRM ketika memandu di Kenyalang Park di sini sekitar jam 7.40 pagi.

Lee Shan dalam satu rakaman video turut mendakwa pegawai tersebut telah menghalang kenderaannya, sebelum menarik kunci keretanya.

Namun, SPRM dalam kenyataan lewat petang Ahad mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung video yang disebarkan Lee Shan.

SPRM Kuching juga telah beberapa kali cuba menghubungi beliau bagi namun gagal dihubungi. Pada 12 Disember 2021, pihak SPRM telah mengesan dan berjumpa dengan beliau di sekitar Kenyalang Park.

Bagaimanapun SPRM menegaskan bahawa dakwaan berlaku adegan kejar mengejar dan tangkapan dibuat terhadap beliau adalah tidak benar.

Pihak SPRM hanya menyampaikan notis pemakluman untuk beliau memberikan kerjasama kepada pihak SPRM dalam menjalankan siasatan.