PRN Sarawak: SPR bakal adakan mesyuarat khas bincang pelaksanaan PRN

Hilmi Malik
November 4, 2021 07:15 MYT
Sebarang keputusan mengenai PRN Sarawak bakal diputuskan sebaik sahaja selesai mesyuarat khas kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak.
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk menentukan tarikh bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi berhubung penamatan Proklamasi Darurat di negeri itu pada 3 November.
“Berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.
“Di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, tarikh penting bagi pelaksanaan PRN Sarawak bakal diumumkan pihaknya sebaik sahaja selesai mengadakan perbincangan.
Untuk rekod, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan untuk menamatkan Proklamasi Darurat di Sarawak.
#Yang di-Pertuan Agong #Suruhanjaya Pilihan Raya #PRN Sarawak #Ketua Menteri Sarawak