KUALA LUMPUR: Perkara yang paling dibimbangi dalam Pilihan Raya Negeri hujung minggu ini ialah jumlah mereka yang akan keluar mengundi.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, fakta bahawa keputusan PRN tidak akan mengubah kerajaan persekutuan mungkin akan menjadi faktor, namun melihat ada petanda positif menerusi jumlah kehadiran pada ceramah-ceramah yang diadakan.

"Kali ini, setiap kali turun ke lapangan, kita hanya ada satu mesej iaitu untuk ajak orang ramai keluar mengundi.

"Kita risau PRN ini ada ramai yang rasa ia tak penting, tak perlu balik kampung kerana hanya akan libatkan enam negeri dan tak akan ubah kerajaan persekutuan.

"Ini satu kemungkinan dan menjadi satu kerisauan iaitu peratusan keluar mengundi tidak tinggi," katanya.

Bagi Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann, beliau berharap kempen vote local yang dijalankan diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai keperluan untuk keluar mengundi dalam PRN.

"Vote local atau undi lokal ini adalah untuk memberi kesedaran tentang kepentingan kerajaan negeri kerana antara tugas kerajaan negeri ialah melantik kerajaan tempatan atau pihak berkuasa tempatan.

"Prestasi pihak berkuasa tempatan atau majlis tempatan akan ada kesan secara langsung kepada kualiti hidup.Contohnya kalau pengurusan sampah tidak dijalankan dengan baik, hidup akan terganggu.

"Kita nak kaitkan kepentingan PRN kepada pelantikan kerajaan tempatan, jadi kita harap orang ramai keluar mengundi," ujarnya.

Mereka berkata demikian dalam sesi diskusi bertajuk PRN: Referendum PMX Atau Kerajaan Negeri? pada Selasa.

Ia turut disertai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda Pas, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir dan Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan.