[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
NATIONAL

Produk kecantikan seludup dari Thailand dijual mahal tanpa cukai, kelulusan KKM

Bernama 23/03/2025 | 08:58 MYT
Razarudin (foto) berkata aktiviti ini bukan baharu malah semakin membimbangkan, dengan banyak rampasan besar-besaran dibuat PGA melibatkan produk kecantikan dan kesihatan yang dibawa masuk secara haram ke Malaysia. -Gambar fail
KOTA BHARU: Trend pempengaruh dan usahawan kosmetik membeli produk kecantikan dari Thailand tanpa cukai serta tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang semakin berleluasa, didorong oleh perbezaan harga yang ketara di pasaran tempatan.


Ringkasan AI
  • Trend pempengaruh dan usahawan kosmetik membeli produk kecantikan dari Thailand tanpa cukai dan kelulusan KKM semakin berleluasa kerana perbezaan harga yang ketara.
  • Taktik penyeludupan termasuk menggunakan laluan tikus dan individu tertentu untuk mengelakkan pemeriksaan ketat di sempadan Malaysia-Thailand.
  • Pihak berkuasa memperketatkan pemantauan di sempadan dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang menjual produk kosmetik tidak berdaftar.


Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata aktiviti ini bukan perkara baharu malah semakin membimbangkan, dengan banyak rampasan besar-besaran dibuat Pasukan Gerakan Am (PGA) melibatkan produk kecantikan dan kesihatan yang dibawa masuk secara haram ke Malaysia.

"Pempengaruh (media sosial) dan peniaga kosmetik ini mengambil kesempatan membeli stok murah dari Thailand tanpa cukai, kemudian dijual dengan harga berkali ganda di Malaysia.

"Selain menjejaskan hasil cukai negara, lebih membimbangkan adalah risiko kepada pengguna kerana produk ini tidak menjalani pemeriksaan dan kelulusan KKM," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau mendedahkan antara taktik yang digunakan adalah membawa masuk produk melalui laluan tikus atau menggunakan individu tertentu untuk menyeludup dalam kuantiti kecil bagi mengelakkan pemeriksaan ketat di sempadan Malaysia-Thailand.

Razarudin berkata pihak polis percaya terdapat rangkaian pembekal yang terlibat dalam penyeludupan produk kecantikan dari Thailand itu, sebelum ia dipasarkan secara dalam talian atau melalui pempengaruh terkenal.

"Pihak berkuasa kini memperketatkan pemantauan di sempadan dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang menjual produk kosmetik tidak berdaftar di pasaran tempatan," katanya.

Beliau turut memaklumkan di Kelantan, PGA telah melakukan pelbagai rampasan termasuk produk kosmetik, hasil pertanian seperti buah kelapa dan tumbuh-tumbuhan yang diseludup masuk dari negara jiran.

-- BERNAMA




#Razarudin Husain #usahawan kosmetik #produk kecantikan dari Thailand #tanpa cukai dan kelulusan KKM