KUALA LUMPUR:Ketua Bahagian Pembedahan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak, Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy dilantik sebagai Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang baharu bagi penggal 2020-2021.

Beliau menggantikan Dr N. Ganabaskaran, selepas mesyuarat agung persatuan yang diadakan secara maya buat julung kalinya itu berakhir, Sabtu lepas.

Dr Subramaniam berkata beliau akan memberi tumpuan kepada isu-isu semasa yang berkaitan dengan bidang perubatan, dan bekerjasama dengan kerajaan dalam mendapatkan penyelesaiannya.

"Saya akan bekerjasama rapat dengan Bahagian Pengamal Perubatan Swasta (PPS) dan Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS) serta jawatankuasa baharu yang dilantik bagi menyelesaikan isu-isu yang dihadapi sektor perubatan. MMA akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam semua isu yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.

"Saya juga akan berjumpa dengan Menteri Kesihatan dan meneruskan hubungan istimewa yang dibina antara MMA dan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak sekian lama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya isu berhubung penempatan doktor muda juga akan diberi tumpuan, dan beliau memberi jaminan bahawa anggota MMA akan berusaha menyelesaikan perkara itu menerusi perbincangan dengan kerap dengan kerajaan.

Dr Subramaniam, 73, aktif dengan MMA sejak 1978, dan beliau telah berkhidmat selama 22 tahun dengan Kementerian Kesihatan, dan pernah berkhidmat sebagai pakar pembedahan plastik di Hospital Kuala Terengganu (kini dikenali sebagai Hospital Sultanah Nur Zahirah).

Beliau memperoleh MBBS dari JIPMER Pondicherry University of Madras di India, FRCS dari Glasgow, dan mendapat latihan dalam bidang Pembedahan Plastik di Australia dari tahun 1981 sehingga 1985.

Antara barisan kepimpinan baharu MMA bagi penggal 2020-2021 adalah Dr Koh Kar Chai (presiden-lantikan), Dr R.Thirunavukarasu (setiausaha agung kehormat) dan Dr Vasu Pillai Letchumanan (bendahari kehormat). MMA mempunyai 12,553 anggota di seluruh negara.

-- BERNAMA