Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Profesion perakaunan mesti dipandu integriti, bukan automasi semata-mata - Fadillah

Shafiqa Azami 20/11/2025 | 08:35 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyampaikan ucapan pada Konvensyen Akauntan Nasional 4.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Profesion perakaunan tidak boleh tunduk kepada automasi semata-mata, sebaliknya perlu terus diperkukuh dengan integriti, ketelitian dan pertimbangan moral manusia agar kekal relevan dalam era digital.


Ringkasan AI
  • Profesion perakaunan perlu diperkukuh dengan nilai ketelitian, integriti, dan moral manusia untuk kekal relevan dalam era digital.
  • Akauntan tidak hanya mengurus angka, tetapi juga memastikan kejujuran, akauntabiliti, dan kepercayaan dalam tadbir urus kewangan negara.
  • Dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0, akauntan perlu menguasai teknologi baharu sambil mengekalkan integriti sebagai tunjang profesion perakaunan.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, walaupun teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), dan blockchain, semakin mendominasi proses kerja, ia tidak mampu menggantikan nilai manusia yang membentuk kepercayaan dan ketelusan dalam tadbir urus kewangan negara.

“Profesion perakaunan berpaksikan ketelitian, integriti dan amanah. Akauntan bukan sekadar mengurus angka, tetapi memastikan setiap rekod dan keputusan mencerminkan kejujuran dan akauntabiliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Akauntan Nasional 4.0 di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara pada Khamis.

Fadillah turut menegaskan bahawa peranan akauntan kini telah berkembang daripada sekadar penyimpan rekod kepada rakan strategik organisasi penganalisis, penasihat dan pembuat keputusan yang menentukan arah serta daya saing sesebuah entiti.

Sementara itu, dalam menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0, katanya, akauntan perlu menguasai teknologi baharu namun tidak mengabaikan integriti yang menjadi tunjang profesion tersebut.

“AI boleh menghasilkan laporan kewangan dan mengesan penipuan, tetapi ia tetap alat. Hikmah, etika dan kebijaksanaan manusia tidak boleh diganti.”

Fadillah turut menekankan keperluan profesion itu menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selari visi Malaysia MADANI, yang menuntut keseimbangan antara kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam.

Sebagai menteri yang menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), beliau berkata kerajaan sedang memperkukuh peralihan tenaga negara melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), termasuk pelaburan besar dalam tenaga boleh baharu, reformasi tadbir urus air, serta pemerkasaan pelaporan ESG.

“Akauntan ialah penjaga nilai. Mereka memastikan setiap laporan telus, setiap keputusan berlandar prinsip, dan setiap kepentingan dipelihara,” katanya lagi.

Tambahnya, integriti bukan lagi pilihan tetapi kewajipan dan profesion perakaunan memainkan peranan kritikal dalam memastikan ekonomi negara terus diyakini dan mampan.





#Fadillah Yusof #akauntan #era digital #integriti