PUTRAJAYA: Bagi mendedahkan kepada masyarakat umum mengenai peranan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), program Agrikomoditi Walk telah dianjurkan.

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan Agrikomoditi Walk juga diadakan bertujuan  membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan warga Kementerian dan agensi di bawahnya serta orang ramai yang turut serta.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri juga menjelaskan, Agrikomoditi Walk ini dianjurkan bersempena sambutan Hari Agrikomoditi Negara 2023 yang dilancarkan pada 5 Disember lalu.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam program Agrikomoditi Walk ini.

“Program ini bukan saja tujuannya untuk memberi kesedaran tetapi lebih penting ialah untuk kita membuat amalan sihat kepada rakyat kita.

“Seperti yang kita tahu, aktiviti berjalan adalah salah satu amalan sihat, patut jadi budaya rakyat kita, pagi-pagi berjalan untuk kita sihat tubuh badan dan sihat minda kita," katanya pada program Agrikomoditi Walk yang diadakan Persiaran Perdana, Persint 2, Putrajaya pada Sabtu.

Beliau juga memaklumkan program Agrikomoditi Walk yang dibuka kepada orang ramai ini disertai lebih 2,000 peserta.

Turut bersama dalam Agrikomoditi Walk ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

Bagi Presiden Kelab Komuniti Bikeisable, Wira Supdeja Rabu, penyertaan mereka dalam Agrikomoditi Run bertujuan untuk membawa mesej kebersamaan dengan anak-anak istimewa.

"Disamping tema yang dibawa oleh penganjur mengenai isu-isu berkaitan dengan komoditi dan perladangan, kami dari Kelab Komuniti Bikesable juga bawa masuk kebersamaan dengan anak-anak istimewa hari ini," katanya.

Sejajar dengan sambutan Hari Agrikomoditi Negara yang bertujuan menghargai peranan pemegang taruh dalam sektor agrikomoditi negara, KPK mengharapkan agar sektor tersebut terus menjadi medium membantu rakyat Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan selain menyumbang ke arah pembangunan dan pertumbuhan sosio ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Berbagai acara menarik sempena program Agrikomoditi Walk diadakan antaranya Pameran Agensi di bawah KPK, senam robik dan zumba serta persembahan daripada penghibur jalanan dan cabutan bertuah.