Program CSR syarikat swasta perlu sentuh isu kesihatan - Khairy

Dania Zainuddin
Februari 23, 2018 12:19 MYT
Khairy berharap lebih banyak insentif fiskal bagi syarikat yang mewujudkan program CSR yang selari dengan aspirasi TN50.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat swasta perlu bergerak seiring dengan Inisiatif Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata program CSR syarikat swasta perlu menyentuh isu kesihatan yang mampu mengurangkan penyakit berjangkit, sekali gus menambah baik sistem kesihatan negara.
"Saya berharap apabila kita lancarkan dasar TN50, ramai pihak terutamanya sektor swasta dapat mengerakkan program CSR mereka seiring aspirasi negara.
"Dengan inisiatif ini, rakyat tidak perlu hanya bergantung kepada kerajaan dalam isu kesihatan," kata Khairy dalam satu sidang media selepas melancarkan Program Skuad Operasi Sihat Negaraku (SOSN) di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, beliau berharap lebih banyak insentif fiskal bagi syarikat yang mewujudkan program CSR yang selari dengan aspirasi TN50.
Khairy turut menekankan keperluan rakyat Malaysia untuk mengambil peduli terhadap kesihatan masing-masing.
"Malaysia mencatatkan kadar obesiti tertinggi di rantau Asia Tenggara, sekali gus menjadi punca peningkatan kadar masalah kesihatan serius.
"Golongan belia perlu mengambil langkah proaktif memastikan kesihatan mereka diutamakan," katanya.
Sementara itu, program SOSN yang dianjurkan Kumpulan Bousted, Pharmaniaga Berhad dan BHPetrol itu menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan asas di seluruh Malaysia.
Aktiviti pemeriksaan kesihatan pecuma ini diadakan di stesen BHPetrol terpilih seminggu sekali, di mana orang ramai boleh memeriksa Indeks Jisim Badan, tekanan darah dan paras glukosa darah selain berunding dengan pakar perubatan.
#bhp petrol #CSR #kesihatan #Khairy Jamaluddin #pemeriksaan kesihatan #syarikat swasta #TN50 #Transformasi Nasional 2050