MALAYSIA
Program francais baharu perkasa masyarakat India - Ramanan
Ramanan berharap masyarakat India berpeluang menyertai sektor francais, sama ada sebagai pemberi francais mahupun penerima francais, dengan sokongan pembiayaan yang disediakan KUSKOP. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Kerajaan bakal melancarkan inisiatif baharu berkaitan francais bagi menyokong pembangunan masyarakat India, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata program berkenaan yang julung-julung kalinya diperkenalkan, digubal kementerian melalui Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) dan dijadual dilancarkan akhir bulan ini.
Ramanan berharap masyarakat India berpeluang menyertai sektor francais, sama ada sebagai pemberi francais mahupun penerima francais, dengan sokongan pembiayaan yang disediakan KUSKOP.
"Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama pegawai kementerian komited dan telah bekerja keras membangunkan program itu. Bukan mudah untuk mewujudkan inisiatif sebegini, namun kami yakin ia bakal menjadi platform terbaik bagi masyarakat India.
"Saya berharap mereka akan mengambil kesempatan itu untuk mengembangkan perniagaan dan memberi manfaat kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perniagaan Inklusif ASEAN Kelapan di sini hari ini.
Ramanan yang menggalas tanggungjawab memantau projek melibatkan kuil dan sekolah Tamil berkata pasukannya kini sedang mengumpul senarai kuil dengan matlamat mempercepat penyempurnaan projek.
"... semua berjalan lancar. Mengenai peruntukan untuk sekolah Tamil menubuhkan makmal ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) serta pembinaan enam sekolah baharu, kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan.
"Bagi program lain di bawah kendalian KUSKOP, semua mencatatkan impak yang bagus. Peruntukan digunakan sepenuhnya dengan jumlah penerima mencecah tahap maksimum," kata beliau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada bulan lepas mengumumkan RM5 juta bagi menaik taraf peralatan makmal ICT di sekolah jenis kebangsaan Tamil dan RM20 juta untuk tambah baik kuil Hindu sebagai pusat komuniti di bawah Program Dharma MADANI.
Mengenai Forum Perniagaan Inklusif (IB) ASEAN, Ramanan berkata antara pencapaian adalah pelancaran Rangka Kerja Pembangunan Bakat dan Kapasiti untuk Perniagaan Inklusif ASEAN, yang menjadi pelan hala tuju membantu negara anggota memperkukuh kapasiti perniagaan mengguna pakai model IB, serta membangunkan bakat mempromosi IB secara berkesan.
Beliau berkata Perniagaan Inklusif (IB) dan Perusahaan Sosial (SE) berperanan sebagai pemacu ketahanan ekonomi ASEAN, ia bukan sahaja menjana keuntungan, malah membawa harapan dan peluang, agenda yang disokong Malaysia melalui dasar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Antara sasaran utama RMK13 menjelang 2030 adalah pembangunan Pelan Tindakan IB Malaysia yang akan menyediakan insentif bersasar kepada syarikat untuk mengguna pakai model perniagaan inklusif.
"Pelan itu juga menyasarkan pengiktirafan kepada 100 syarikat yang mengamalkan model IB serta melibatkan 5,000 penerima manfaat, khususnya daripada kumpulan B40 dalam syarikat IB," kata beliau.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini RMK13 di sini