KUALA LUMPUR: Program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang diperkenalkan bagi menawarkan bekalan elektrik hijau daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) kepada pengguna elektrik akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2024, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA).

Program yang dilaksanakan pada tahun lepas itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong aspirasi negara ke arah negara neutral karbon pada tahun 2050.

Menurut kementerian itu, pengguna yang melanggan GET akan dibekalkan dengan bekalan elektrik daripada sumber TBB yang dijana daripada loji jana kuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi.

Mereka juga akan mendapat sijil yang mengesahkan bahawa bekalan elektrik tersebut adalah bekalan elektrik daripada sumber TBB melalui sijil "Malaysia Renewable Energy Certificates" atau mREC(R) yang berdaftar dengan badan persijilan antarabangsa.

"Memandangkan langganan sedia ada pengguna bagi program GET ini akan ditamatkan secara automatik menjelang 31 Dis, 2023, kementerian sedang meneliti serta menambah baik pelaksanaan serta kaedah pengoperasian program ini," kata KPTDGA dalam kenyataan semalam.

Antara penambahbaikan termasuk meneliti semula kadar premium yang ditetapkan agar ia lebih kompetitif dan menarik, meneliti semula kaedah penawaran GET bagi membenarkan tempoh langganan yang lebih panjang dan menetapkan kaedah bagi keutamaan langganan kepada pelanggan GET sedia ada yang setia untuk memperbaharui langganan masing-masing.

Menurut kementerian itu lagi, perincian mengenai tawaran, pelaksanaan serta kaedah langganan program itu akan dimaklumkan pada masa terdekat, setelah kajian dan penelitian semula program ini diselesaikan.

-- BERNAMA