Program imarah masjid, semarak subuh akan diperkasa - Zulkifli

Bernama
Januari 13, 2024 07:47 MYT
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Zulkifli Hasan menyampaikan bantuan banjir kepada Abdul Razak Muhammad, 34, di Lorong Mak Piah, Sg Tiram hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memperkasakan lagi program pengimarahan masjid dan mengadakan program semarak subuh pada tahun ini.
Timbalan Menterinya Zulkifli Hasan berkata usaha bagi menjadikan masjid sebagai nadi utama umat Islam itu akan terus dilaksanakan dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat.
Beliau berkata pihaknya turut menggalakkan dan menyokong sebarang usaha mengimarahkan masjid seperti '#GengSubuhMacamJumaat' yang digerakkan selebriti Alif Satar serta inisiatif kerajaan Johor mengadakan Program Semarak Subuh.
"Di peringkat kementerian, kita sangat menggalakkan dan menyokong gerakan atau usaha untuk kebaikan masyarakat dan kita jua sudah ada perancangan semarak subuh serta pengimarahan masjid.
"Kita boleh lihat bagaimana seorang selebriti seperti Alif Satar mampu untuk tarik orang ramai solat subuh serta inisiatif Johor. Jadi, kita alu-alukan sesiapa sahaja yang mampu buat demikian sebab ini antara usaha dakwah dan penting agar ia berkesinambungan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan mangsa banjir di Kampung Sungai Tiram di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk mengadakan program solat subuh dan pengimarahan masjid yang telah mencetuskan fenomena baru-baru ini.
Sementara itu, Zulkifli berkata sebanyak 200 isi rumah yang terjejas banjir di Johor diberikan bantuan awal dengan peruntukan RM50,000.
"Sumbangan ini akan diberikan secara berterusan sebagai kesinambungan bantuan yang disampaikan kepada mangsa di Kelantan, Pahang dan Terengganu sebelum ini.
"Selain barangan keperluan harian, sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan agensi berkaitan lain juga telah digerakkan untuk membantu di kawasan yang memerlukan," katanya.
-- BERNAMA
#program pengimarahan masjid #Zulkifli Hasan #Program Semarak Subuh #Geng Subuh Macam Jumaat #Alif Satar