Program Isolasi Pekerja Kargo KLIA bermula esok

Rahimah Abdullah
November 25, 2020 09:32 MYT
Kerajaan bersetuju menjalankan program isolasi melibatkan 360 pekerja MAS Kargo di KLIA yang sihat, tidak bergejala dan disahkan negatif. - Gambar fail/Wikipedia
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menjalankan program isolasi melibatkan 360 pekerja kargo di KLIA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sihat, tidak bergejala dan disahkan negatif.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu akan berkuat kuasa selama 14 hari, bermula 26 November hingga 9 Disember 2020.
"Sidang khas hari ini mendengar pembentangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor mengenai cadangan untuk mewujudkan Program Isolasi Pekerja Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.
"Cadangan ini berikutan daripada peningkatan kes positif COVID-19 daripada Kluster Kaya yang melibatkan pekerja kargo di KLIA," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Pekerja-pekerja berkenaan akan ditempatkan di Tune Hotel KLIA Aeropolis dengan SOP ketat dan pemantauan oleh pihak Kementerian Kesihatan, MKN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
#Program Isolasi Pekerja Kargo #KLIA #Pekerja #COVID-19 #pandemik #kesihatan #pekerja lapangan terbang #MKN #ismail sabri yaakob #pekerja kargo