JOHOR BAHRU: Program Jelajah Ramadan 2026 menjadi wadah bagi penyatuan masyarakat dan memperkukuh hubungan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dengan komuniti serta menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata program Jelajah Ramadan itu adalah antara program utama Bahagian Program Radio RTM yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak 2012.
Advertisement
“Sepanjang tempoh tersebut, program ini bukan sekadar sebuah aktiviti tahunan, malah turut berkembang menjadi simbol komitmen berterusan RTM sebagai penyiar nasional yang mendekati masyarakat secara langsung,” katanya ketika berucap melancarkan Jelajah Ramadan 2026 Edisi Ke-14 di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman.
Fahmi berkata program itu telah mencatat sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Terpanjang di Malaysia, menerusi pelaksanaan 38 aktiviti di seluruh negara.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar satu pencapaian, malah membuktikan bahawa RTM juga berperanan lebih daripada sekadar penyampai berita dan hiburan.
“Sebagai Menteri Komunikasi, saya melihat inisiatif ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan kemampanan sosial.
“RTM berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan masyarakat melalui penyampaian dasar serta pendengaran suara komuniti secara berterusan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata dalam dunia digital dan pantas berubah, radio kekal relevan sebagai medium yang dekat di hati masyarakat.
“Suara juruhebahnya menemani pemandu di jalan raya, peniaga di pasar, nelayan di lautan serta petani di sawah, menjadikan radio sebagai teman setia dalam rutin harian.
“Saya percaya, dengan kekuatan 34 stesen radio RTM, suara yang disampaikan bukan sekadar gelombang frekuensi, tetapi juga gelombang keinsanan dan perpaduan,” katanya.
Bertemakan “Satu Suara, Satu Jiwa”, Jelajah Ramadan 2026 berlangsung selama 20 hari bermula hari ini hingga 8 Mac.
Memasuki edisi ke-14, program itu melibatkan 15 kenderaan dan kira-kira 40 kru termasuk juruhebah serta selebriti undangan yang akan menjelajah ke 30 lokasi di zon utara, selatan, tengah, timur, Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA