Program Jendela mantapkan infrastruktur telekomunikasi negara - Saifuddin

Bernama
Mac 25, 2021 21:31 MYT
Saifuddin Abdullah berkata peruntukan RM3.2 bilion daripada Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat disediakan di bawah pelan Jendela. -Bernama
CAMERON HIGHLANDS: Infrastruktur telekomunikasi seluruh negara terus dimantapkan di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menyediakan capaian gentian optik ke premis-premis berkaitan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata peruntukan RM3.2 bilion daripada Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, disediakan di bawah pelan Jendela bagi tujuan itu.
"Perbelanjaan ini melibatkan kerja naik taraf 5,394 pemancar telekomunikasi kepada 4G dan sasaran penyambungan gentian optik ke 557,374 premis yang dilaksanakan pada tahun ini.
"Ini antara usaha kita bagi menyediakan asas kukuh untuk pembangunan ekonomi digital di bawah aspirasi MyDIGITAL.
"Perkara ini usaha sama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengurangkan jurang digital dalam kalangan rakyat di seluruh Malaysia.
"MCMC dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dan kerajaan-kerajaan negeri yang mana Malaysia sedang bergerak pantas dalam usaha membina infrastruktur bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat," katanya.
Beliau ditemui selepas menyertai program Jelajah Malaysia Prihatin bersama-sama Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd. Nor di Dewan Kampung Orang Asli Sungai Ruil pada Rabu.
Saifuddin menjelaskan, projek-projek sasaran di bawah Jendela yang dipacu MCMC itu, sedang giat dilaksanakan di pelbagai peringkat di seluruh negara dan kesemua projek pembangunan infrastruktur digital itu akan menyumbang kepada sasaran Fasa Pertama Jendela (2020-2022).
"Ia menyediakan liputan 4G kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk, meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih kepada 35Mbps, serta menyambung gentian optik kepada 7.5 juta premis.
"Itu pencapaian setakat ini. Ia akan memudahkan kita laksanakan 5G pada hujung tahun nanti, " jelasnya.
Saifuddin berkata impak daripada pelaksanaan Jendela yang dilancarkan sejak September tahun lalu sudah mula dirasai di kawasan luar bandar dan pinggir bandar malah SKMM bertindak secara agresif untuk memperbaiki liputan di kawasan-kawasan yang diadukan.
"Walaupun terdapat cabaran seperti proses kelulusan dan pembinaan menara telekomunikasi, kerjasama yang utuh antara SKMM dan syarikat-syarikat telekomunikasi telah berjaya mengatasi banyak masalah dengan cepat melalui beberapa penyelesaian sementara.
Menurutnya kementerian juga akan membantu daripada segi pembangunan dasar yang sesuai bagi melicinkan pelaksanaan semua pelan tindakan serta membina kapasiti rakyat, perniagaan dan jentera kerajaan demi merealisasikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
-- BERNAMA
#Saifuddin Abdullah #Parlimen #ekonomi #kerajaan #Orang Asli #Jalinan Digital Negara #JENDELA #SKMM #MCMC