Program Jom Ziarah: Tiada belia Muslim dibawa ke gereja - Hannah Yeoh

Fareez Azman
Mac 14, 2023 11:26 MYT
Hannah Yeoh menempelak fitnah terhadapnya berhubung Program Jom Ziarah di Dewan Rakyat pada Selasa. - Gambar/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Program Jom Ziarah yang membabitkann kunjungan ke gereja oleh Impact Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak melibatkan belia beragama Islam.
Demikian tegas menterinya, Hannah Yeoh dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa kementerian itu di Dewan Rakyat pada Selasa.
Jelasnya, dakwaan program itu turut melibatkan belia Islam adalah tidak benar.
"Bagi isu yang telah dibangkitkan berkenaan pendaftaran Program Jom Ziarah gereja, pihak kementerian menerusi Impact Malaysia sememangnya tidak akan melibatkan penyertaan belia Muslim dan tiada belia Muslim memasuki gereja menerusi program ini.
"Saya nak masukkan ini dalam handsard supaya mereka tak boleh mainkan dalam media sosial.
"Untuk makluman semua, Program Jom Ziarah yang berlangsung di Masjid Negara pada 24 Mac telah dihadiri oleh lapan belia berbangsa Cina dan India, manakala di Gurdwara pada 11 Mac hanya tiga orang belia berbangsa Cina menyertai program tersebut," jelasnya.
Tambah Hannah, beliau sememenangnya memahami Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Justeru, tindakan pihak yang menyerangnya dengan isu itu disifatkan mahu menutup isu tuduhan yang dihadapi sesetengah pemimpin politik ketika ini.
"Jadi orang yang dakwa di luar sana tak payah bagi gambaran beberapa ribu orang belia telah masuk gereja dan mereka akan dipengaruhi... tidak ada, data menunjukkan tidak ada belia Muslim.
"Memfitnah bahawa saya menggunakan agensi di bawah KBS untuk tujuan tersebut adalah tuduhan melampau dan mahu menjadikan saya 'punching bag' untuk menutup dakwaan salah laku dihadapi pemimpin mereka.
"Saya bukan cakap pasal Pas, saya cakap pasal Bersatu yang tuduh saya di luar sana," katanya lagi.
Tambah Ahli Parlimen Segambut itu lagi, pelaksanaan program rumah ibadat bukan satu perkara yang baharu.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai tuduhan program terbabit dikatakan seolah-olah mengajak golongan Muslim untuk menziarahi gereja.
Untuk rekod, projek Impact Malaysia itu turut melibatkan rumah ibadat agama lain termasuk ziarah masjid.
#Dewan Rakyat #Program Ziarah Gereja #Hannah Yeoh #Impact Malaysia