Program Jualan Rahmah tidak hanya tertumpu di kawasan Parlimen kerajaan sahaja - Armizan

Hasimi Muhamad
Mac 14, 2024 09:18 MYT
Armizan berkata sebaliknya program berkenaan dilaksanakan meliputi seluruh kawasan parlimen dan tidak hanya dikhususnya kepada pihak-pihak tertentu sahaja - Foto JaPen
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan bahawa Program Jualan Rahmah hanya tertumpu di kawasan-kawasan Parlimen kerajaan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebaliknya program berkenaan dilaksanakan meliputi seluruh kawasan Parlimen dan tidak hanya dikhususnya kepada pihak-pihak tertentu sahaja.
"Kita bermula pada tahun ini kita telah melakukan hebahan dengan lebih meluas dan boleh saksikan di laman sesawang KPDN, di mana penjadualan kita buat lebih awal.
"Boleh lihat di sana di manakah lokasi Program Jualan Rahmah dan tarikh yang akan diadakan setiap kawasan bagi bulan berikutnya.
"Ini membolehkan mempunyai maklumat awal dan merancang di mana Program Jualan Rahmah yang mreka ini ingin hadir di kawasan sekitar. Ini juga merupakan satu pendekatan ketelusan yang menunjukkan bahawa Program Jualan Rahmah dan Payung Rahmah secara keseluruhan merupakan agenda nasional dan ia tidak hanya dikhususnya kepada pihak-pihak tertentu semata-mata," katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menambah, sejak Program Payung Rahmah diperkenalkan 11 Januari tahun lalu, inisiatif berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh negara, sama ada daripada pihak pengguna mahupun industri.
Jelas beliau, berdasarkan hasil dapatan Kajian Impak Program Payung Rahmah akhir 2023, sebanyak 81 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan pelaksanaan program berkenaan.
"Hasil kajian juga menunjukkan 87 peratus daripada responden menyatakan sokongan yang padu supaya Program Payung Rahmah dikekalkan," ujar beliau.
Sementara itu menjawab celahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah premis yang menyedia Menu Rahmah, Armizan berkata setakat 6 Februari lalu, sebanyak 2,134 premis menawarkan inisiatif tersebut.
Program Payung Rahmah meliputi inisiatif-inisiatif seperti Bakul Rahmah; Jualan Rahmah; Pakej Rahmah; dan Menu Rahmah.
Program Payung Rahmah Madani diperkukuhkan melalui tiga inisiatif baharu iaitu Ihsan Rahmah oleh pihak swasta dan industri; merancang pelaksanaan Pasar Rahmah yang turut meliputi perluasan pelaksanaan inisiatif Bazar Ramadan Rahmah (BRR); serta Kad Diskaun Khas Menu Rahmah.
#Program Jualan Rahmah #Armizan Mohd Ali #Lokasi jualan Rahmah #Dewan Rakyat #kawasan Parlimen