Program kesihatan mental perlu diberi keutamaan - Lee Lam Thye

Bernama
Disember 27, 2015 00:23 MYT
Penyakit mental juga kini dikenal pasti antara penyebab kepada peningkatan kadar kes bunuh diri di seluruh dunia. - Gambar fail
Program berkaitan kesedaran kesihatan mental perlu ditingkatkan dalam usaha menangani isu-isu berkaitan stres, kemurungan dan keganasan.
Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye berkata isu kesihatan mental di tempat kerja misalnya, perlu diberi perhatian serius kerana ia berkaitan dengan produktiviti dan kualiti perkhidmatan.
"Pengabaian faktor kesihatan mental dan psikososial di tempat kerja bukan sahaja merugikan pekerja tetapi juga memberi kesan secara langsung terhadap kecekapan, keberkesanan dan hasil sesuatu perusahaan," katanya dalam kenyataan, Sabtu.
Beliau berkata kesan daripada kesihatan mental juga akan menjejaskan sesuatu organisasi atau syarikat apabila pekerja terbabit kerap jatuh sakit, prestasi menurun, ketidakhadiran dan sebagainya.
Beliau berkata penyakit mental juga kini dikenal pasti antara penyebab kepada peningkatan kadar kes bunuh diri di seluruh dunia.
Katanya, menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Tuan Masir Anak Kujat dalam sidang Dewan Negara baru-baru ini, 130 kes bunuh diri dan percubaan bunuh diri sehingga Oktober 2015 dilaporkan berlaku di negara ini.
"Jika terdapat kes pekerja yang menderita daripada penyakit mental, majikan perlu memberi pertolongan dan bantuan dalam bentuk kaunseling," kata Lee.
#kesihatan #Lee Lam Thye #mental #murung