[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Program NUR@PETRA bantu PMKS jimat kos, galak amalan cekap tenaga

Astro Awani 19/09/2025 | 10:12 MYT
Inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang telah dilaksanakan dalam empat siri terdahulu. - Foto SEDA Malaysia
KOTA BHARU: SEDA Malaysia telah menyertai Program Jelajah Jiwa SME 2025 di Mydin Tunjong, Kota Bharu, Kelantan pada 29 hingga 30 Ogos 2025 lalu bagi mempromosikan kategori terbaharu iaitu NUR@PMKS di bawah Program Nikmat Untuk Rakyat @PETRA.

Kategori ini menawarkan diskaun e-Rebat khusus kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), sekali gus memperkukuh amalan cekap tenaga dalam landskap keusahawanan tempatan.

Program NUR@PETRA merupakan inisiatif di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia sebagai agensi pelaksana, selain mendapat kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Energy Commission of Sabah (ECoS).

Inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang telah dilaksanakan dalam empat siri terdahulu.

Namun, kali ini ia diperluaskan kepada sektor industri, komersial dan PMKS. Pada siri terdahulu, diskaun e-Rebat hanya ditawarkan kepada pengguna kediaman.

Dengan peluasan Program NUR@PETRA syarikat dan usahawan kini turut berpeluang untuk menikmati manfaat program tersebut.

Melalui kategori baharu NUR@PMKS, syarikat yang layak berpeluang menerima rebat sehingga RM4,000 bagi pembelian peralatan elektrik cekap tenaga.

Program ini membolehkan syarikat membeli maksimum 20 unit peralatan elektrik seperti peti sejuk dan penyaman udara yang mempunyai penarafan empat atau lima bintang cekap tenaga.

Bagi setiap unit yang dibeli, syarikat layak menuntut e-Rebat sebanyak RM200.

xxx


Bagi memastikan kelayakan, hanya perniagaan yang mempunyai sijil akuan status PMKS yang diperakui oleh SME Corporation Malaysia serta akaun bil elektrik komersial aktif dibenarkan memohon.

Pemohon juga perlu mengemukakan beberapa dokumen sokongan seperti sijil akuan status PMKS, sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), penyata bank aktif, dan bil elektrik bertarif komersial.

Semua dokumen ini perlu dikemukakan melalui sistem NUR secara dalam talian. Tuntutan e-Rebat hanya boleh dibuat selepas proses semakan dan pengesahan selesai dijalankan oleh SEDA Malaysia.

Pembelian peralatan boleh dilakukan secara berperingkat, namun tuntutan rebat hanya dibenarkan sekali sahaja.

Sehubungan itu, semua resit perlu dikumpulkan sebelum dikemukakan bagi tujuan tuntutan.

Pelaksanaan program ini bukan sahaja membantu syarikat mengurangkan kos utiliti melalui penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga, malah menyokong usaha negara dalam mengurangkan pelepasan karbon.

Penerapan budaya kecekapan tenaga dilihat berpotensi meningkatkan produktiviti syarikat, menambah baik kecekapan operasi serta memperkukuh imej perniagaan dalam jangka panjang.

Permohonan bagi diskaun e-Rebat NUR@PMKS dibuka sehingga 31 Disember 2025 dan boleh dibuat melalui sistem permohonan dalam talian di laman rasmi SEDA Malaysia di www.saveenergy.gov.my.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi SEDA Malaysia di www.seda.gov.my, ikuti media sosial rasmi SEDA Malaysia, emel ke nur@seda.gov.my atau hubungi talian 03-8870 5869/5864/5853/5922.


#SEDA Malaysia #Petra #Program Nikmat Untuk Rakyat PETRA #NUR PETRA #peralatan jimat tenaga #PMKS #JIWA SME 2025