[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Program pemulihan GISBH bukan fokus tajwid sahaja - MAIS

Sinar Harian 09/05/2025 | 03:10 MYT
Ahmad Shahir berkata, pengisian modul program pemulihan merangkumi pelbagai aspek seperti pengajian al-Quran, akidah, tasawuf dan fikah berpandukan Modul Istitabah yang diluluskan MAIS sejak tahun 2013. - Gambar fail
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya kursus pemulihan terhadap bekas ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) hanya tertumpu kepada pengajian tajwid semata-mata.
Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, kenyataan itu tidak berasas dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam.
Menurut beliau, MAIS menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Riqab pada 4 Februari lalu telah meluluskan pelaksanaan Program Insan Rabbani yang memberi fokus kepada pemulihan akidah bekas ahli GISBH.
"Pelaksanaan program itu selaras dengan fatwa Selangor yang mewartakan fahaman, ajaran dan amalan GISBH menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bermula 15 Februari hingga Ogos tahun ini melibatkan 24 sesi selama empat jam setiap hari Ahad di empat lokasi terpilih,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, lokasi program pula di Sekolah Rendah Agama (SRA) Country Homes, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah Shah Alam, SRA Sijangkang Kuala Langat, dan SRA Sungai Kantan Kajang dengan penglibatan 51 guru bertauliah.
Tambah beliau, pengisian modul merangkumi pelbagai aspek seperti pengajian al-Quran, akidah, tasawuf dan fikah berpandukan Modul Istitabah yang diluluskan MAIS sejak tahun 2013.
"Bagi pengajian al-Quran, peserta belajar mendalami ilmu itu termasuk ilmu tajwid untuk memahami dan menambahbaik bacaan kitab suci itu.
"Seterusnya, bagi pengajian akidah merangkumi asas ilmu akidah dan pemahaman yang benar tentang sifat-sifat ALLAH, Rasul dan yang berkaitan dengannya, manakala pengajian tasawuf merangkumi penyucian hati serta sifat-sifat mahmudah.
"Akhir sekali, pengajian fikah merangkumi tentang solat dan perkara-perkara berkaitan berdasarkan mazhab Imam Syafie," jelas beliau.
Beliau memberitahu, bagi kanak-kanak bekas ahli GISBH, MAIS turut menggunakan Modul Pendidikan Insani JAIS dengan pengisian akidah, ibadah, dan akhlak.
"Modul ini bertujuan membentuk keperibadian dan mengembangkan potensi kanak-kanak secara menyeluruh dan bersepadu berlandaskan wahyu ALLAH dan sunnah Rasulullah SAW," tegas beliau.
Sehubungan itu, MAIS turut mengingatkan masyarakat merujuk kepada sumber rasmi dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan tohmahan tanpa asas kerana ia boleh mencetus kekeliruan terhadap usaha pemulihan akidah yang sedang dilaksanakan.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial mendakwa program pemulihan anjuran MAIS terhadap bekas GISBH hanyalah kelas tajwid semata-mata tanpa sebarang pengisian berkaitan pemulihan akidah.
Hantaran itu mendakwa, sepanjang penglibatan dalam kursus anjuran MAIS, mereka hanya belajar tajwid sejak hari pertama sehingga kini tanpa menyentuh aspek pemulihan akidah seperti dilaporkan sebuah media. - Sinar Harian
#Majlis Agama Islam Selangor #GISB Holdings #kelas tajwid #program pemulihan