MALAYSIA

Program Penghijauan Malaysia: Lebih 115 juta pokok ditanam, langkaui sasaran

Asyraf Malik 29/06/2025 | 06:05 MYT
Jamaliah menanam pokok Keranji sempena Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 pada Ahad. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Sebanyak 115.7 juta pokok melibatkan 1,972 spesies berjaya ditanam di seluruh negara, satu pencapaian disifatkan cemerlang untuk kempen penanaman 100 juta pokok dari tahun 2021 hingga 2025.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 43.9 juta pokok ditanam di Semenanjung Malaysia, 48.3 juta di Sarawak manakala 23.5 juta lagi di Sabah.
"Sasaran 100 juta pokok ini berjaya dicapai setahun lebih awal melalui penanaman simbolik pokok Merbau sebagai pokok ke-100 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Herba, Parlimen Malaysia pada 10 Disember tahun lalu.
"Walaupun sasaran jumlah penanaman telah berjaya dicapai, kempen ini akan diteruskan hingga akhir tahun 2025 bagi merealisasikan objektif kempen iaitu memupuk semangat cintakan alam semula jadi.
"Selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pokok dan kawasan berhutan," ujar Tiong Sii dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, di sini pada Ahad.
Beliau bercakap mewakili Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang tidak dapat hadir kerana dikatakan mempunyai urusan lain.
Frasa 'hutan dan makanan' diangkat sebagai tema Hari Hutan Antarabangsa 2025 bertujuan meraikan peranan hutan sebagai sumber makanan semula jadi kepada masyarakat, selain membekalkan nutrisi.
#Projek Penghijauan Malaysia #penjagaan alam sekitar #100 juta pokok ditanam #Hari Hutan Antarabangsa 2025