KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM75,000 untuk membantu masing-masing 100 asnaf di Kuala Lumpur dan Labuan serta 50 asnaf di Putrajaya membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata program Rahmah Ramadan MAIWP: Sumbangan Pakaian Dan Keperluan Raya itu membolehkan asnaf terlibat membeli pakaian raya dengan peruntukan RM300 seorang.

"Sumbangan dalam bentuk pakaian dan keperluan raya ini tanda keprihatinan MAIWP dan diharapkan dapat meringankan beban serta membolehkan mereka merasai nikmat berhari raya dengan lebih bermakna.

"Program menyantuni asnaf dan memberi peluang mereka membuat persiapan raya ini merupakan program tahunan yang dilaksanakan MAIWP dan insya-Allah akan diteruskan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan program itu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP Mohd Fauzi Abidin.

Selain itu, Syed Kamarulzaman dengan kerjasama Yayasan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (YBSKN) turut menyampaikan sumbangan daripada MAIWP berupa pakaian dan keperluan Aidilfitri di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Setapak di sini.

Beliau berkata bantuan itu merangkumi pakaian raya seperti baju kurung dan baju melayu sebanyak 2,000 pasang serta bantuan barangan asas dan barangan basah kepada 1,000 penerima, melibatkan peruntukan berjumlah RM370,000.

"Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan penerima dan menyemarakkan keindahan serta membawa keceriaan sempena Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi," katanya.

-- BERNAMA