MALAYSIA

Program Rakan Muda terus diperkasakan, lahir belia berkualiti

Bernama 02/02/2026 | 15:30 MYT
Dr Mohammed Taufiq bergambar bersama sebahagian penerima Sumbangan Ahli Parlimen Sungai Petani kepada wakil PIBG pada Majlis Penyerahan Sumbangan Uniform Pengakap hari ini. - Gambar Bernama
SUNGAI PETANI: Program Rakan Muda akan terus diperkasakan dalam usaha melahirkan lebih ramai belia berkualiti yang mampu memimpin negara pada masa hadapan.


Ringkasan AI
  • Program Rakan Muda diperkasakan untuk melahirkan belia berkualiti memimpin negara pada masa hadapan.
  • Menteri Belia dan Sukan komited memperuntukkan RM40 juta tahun 2026 bagi program ini.
  • Sumbangan uniform pengakap dan cek RM790,000 disalurkan kepada sekolah dalam kawasan Parlimen Sungai Petani.


Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata program itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di kawasan luar bandar dan daripada peringkat sekolah hingga universiti.

"Kita komited untuk melahirkan lebih ramai belia yang berkualiti dan mampu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

"Sebab itu kita berhasrat untuk terus memperkasakan program Rakan Muda. Tahun lepas sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk program ini dan bagi 2026 RM40 juta diperuntukkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan uniform pengakap kepada 240 penerima daripada 14 sekolah dalam kawasan Parlimen Sungai Petani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puteri Jaya dekat sini hari ini.

Dr Mohammed Taufiq berkata kementerian akan merangka, menyusun dan berbincang dengan pihak berkaitan bagi memperkasakan program itu ke peringkat lebih luas.

Program Rakan Muda mempunyai 10 gaya hidup iaitu Rakan Demokrasi, Rakan Litar, Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Muzik, Rakan Mahir, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan cek bernilai RM790,000 bagi baik pulih sekolah dalam kawasan Parlimen Sungai Petani menerusi Program Mesra Rakyat.

"Keseluruhannya sebanyak RM2 juta diperuntukkan menerusi Program Mesra Rakyat membabitkan hampir 40 sekolah di kawasan Parlimen ini.

"Hampir semua sekolah menengah, kebangsaan serta sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menerima sumbangan untuk menyediakan infrastruktur selain menjadikan sekolah sebagai sekolah digital, selesa dan interaktif," katanya.

-- BERNAMA


#Rakan Muda #sekolah digital #uniform pengakap #belia berkualiti