Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
MALAYSIA

Program Rancakkan MADANI wadah kerajaan bertemu rakyat lapor pencapaian - PMO

Bernama 05/12/2025 | 09:15 MYT
Program pertukaran topi keledar antara yang diadakan pada Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang berlangsung tiga hari bermula hari ini di Dataran Putrajaya. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku bermula hari ini hingga Ahad, menjadi wadah penting kerajaan untuk bertemu rakyat dan melaporkan pencapaian yang kini menjangkau tahun ketiga pentadbiran secara terbuka serta mudah difahami rakyat.


Ringkasan AI
  • Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku bermula hari ini hingga Ahad, menjadi wadah penting kerajaan untuk melaporkan pencapaian pentadbiran selama tiga tahun secara terbuka kepada rakyat.
  • Program itu menampilkan pelbagai inisiatif termasuk Produk Rakyat MADANI, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, dan aktiviti sukan bagi memastikan manfaat dasar kerajaan sampai kepada rakyat.
  • Program ini turut membuka peluang kepada rakyat untuk berinteraksi dengan pemimpin negara serta memperkukuh hubungan kepercayaan, seiring dengan tekad Kerajaan MADANI untuk terus berkhidmat cekap, telus, dan berlandaskan reformasi.


Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata program tiga hari itu yang berlangsung di Dataran Putrajaya merupakan kesinambungan tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI kepada rakyat, susulan penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 2023 dan Program Dua Tahun Bersama Kerajaan MADANI (2024).

Beliau berkata program itu menjadi wadah penting untuk menampilkan pencapaian, kemajuan dasar serta hasil reformasi Kerajaan MADANI secara telus dan mudah difahami oleh rakyat keseluruhannya.

"Alhamdulillah, dengan penuh rasa kesyukuran, kepimpinan Kerajaan MADANI diterajui YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri kini menjangkau tahun ketiga pentadbiran. Tiga tahun yang sarat dengan cabaran dan perubahan ini telah menzahirkan komitmen yang konsisten bahawa tekad Kerajaan MADANI tidak pernah berganjak.

"... yakni untuk memacu reformasi, memperkukuh tatakelola yang baik dan memastikan setiap dasar serta inisiatif benar-benar membawa manfaat terus kepada rakyat," katanya dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim hari ini.

Tunku Nashrul berkata pelbagai inisiatif merentasi lapan segmen utama daripada Produk Rakyat MADANI hingga Belia MADANI, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, hubungan antarabangsa serta pengisian menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, yang dihimpunkan di bawah satu bumbung bagi memperlihatkan ekosistem dasar kerajaan secara holistik dan mudah diakses.

Beliau berkata sepanjang tiga hari itu, rakyat berpeluang menikmati perkhidmatan langsung kementerian dan agensi kerajaan, menyertai aktiviti kekeluargaan, karnival kerjaya, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, Jualan Rahmah dan pameran keselamatan.

Selain itu, program berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik-Kecerdasan Buatan (STEM-AI), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), aktiviti sukan, pengangkutan, pelancongan dan pelbagai tarikan lain termasuk pertukaran helmet motosikal, yang semuanya dirangka agar manfaatnya sampai terus kepada rakyat kebanyakan.

"Perdana Menteri juga turut dijadualkan hadir ke program ini pada 7 Dis bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan serta berinteraksi secara langsung bersama rakyat," katanya.

Selain manfaat langsung itu, Tunku Nashrul berkata Program Rancakkan MADANI turut membuka ruang kepada rakyat untuk bertemu pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, barisan Jemaah Menteri serta pimpinan tertinggi kerajaan sekali gus memperkukuh hubungan kepercayaan yang menjadi asas Malaysia MADANI.

"Sehubungan dengan itu, Pejabat Perdana Menteri amat mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat yang berkelapangan untuk hadir, memanfaatkan peluang yang tersedia dan menyertai pelbagai inisiatif sepanjang tiga hari ini.

"Rancakkan MADANI merupakan manifestasi tekad Kerajaan MADANI untuk terus berkhidmat dengan lebih cekap, lebih telus dan terus berada pada landasan reformasi, demi membina negara yang sejahtera, makmur dan berdaya saing," katanya.

-- BERNAMA




#Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku #bertemu rakyat #Anwar Ibrahim #PMO #Tunku Nashrul Abaidah