Skip to main content

Malaysia

Program Rintis KAFA dalam proses penambahbaikan, penilaian - Marhamah

KOTA BHARU, 17 Mac -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli menyampaikan ucapan pada Program Santuni MADANI bersama Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Marhamah menyampaikan ucapan pada Program Santuni MADANI bersama Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Kota Bharu, 17 Mac 2026. --fotoBERNAMA

KOTA BHARU: Program Rintis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) masih dalam proses penambahbaikan dan penilaian secara menyeluruh sebelum dimuktamadkan pelaksanaannya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli.

Beliau  berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang merancang untuk melibatkan 200 guru KAFA dalam program rintis terbabit melibatkan masing-masing 100 guru di Melaka dan Perak.

Advertisement

"Kita perlu memahami kebanyakan kelas KAFA ketika ini beroperasi tiga hari seminggu dan menggunakan premis sedia ada seperti sekolah kebangsaan yang turut menjalankan aktiviti kokurikulum.

"Justeru, untuk melaksanakan model lima hari seminggu, ia memerlukan penyediaan premis yang benar-benar bersesuaian dan mampu menampung keperluan pelajar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni MADANI bersama guru KAFA di sini semalam.

Pada program itu, sebanyak 450 guru KAFA dari Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Tumpat menerima sumbangan sempena Aidilfitri.

Marhamah berkata pihaknya juga sedang mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pendidikan bagi meneliti pelbagai aspek termasuk penyelarasan waktu bekerja guru, struktur elaun, kebajikan guru dan pelajar serta keperluan operasi program.

"Program ini dilaksanakan sebagai rintis dan tidak diperluas pada peringkat awal namun sekiranya berjaya, ia berpotensi menjadi asas kepada penstrukturan semula perjawatan melibatkan 36,500 guru KAFA di seluruh negara.

"Tempoh pelaksanaan rintis adalah selama dua tahun. Bagaimanapun, pada masa ini ia masih di peringkat cadangan oleh JAKIM dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkepentingan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video