KOTA KINABALU: Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI adalah titik tolak penting untuk memperkenal Kerajaan Perpaduan dan semua jentera agensi kerajaan untuk dikenali sebaiknya oleh rakyat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berkata program itu juga dialu-alukan untuk dilaksana di peringkat negeri dalam usaha memperbaiki saluran komunikasi antara rakyat dan kerajaan.

"Rakyat dapat mengetahui di mana saluran yang boleh mereka pergi untuk mendapatkan bukan sahaja bantuan tetapi juga akses kepada perniagaan. Itulah sebab utama kenapa program setahun bersama ini diadakan," katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Minum Petang Bersama Ketua-Ketua Cabang PKR di sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Sabah serta Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Peto Galim.

Nurul Izzah juga berkata sebagai parti yang berkecimpung dalam dunia politik sejak 25 tahun lepas dan kini menjadi Kerajaan Perpaduan, melaksanakan manifesto yang dijanjikan PKR kepada rakyat bukan sesuatu yang mudah namun perlu dilaksanakan sebaiknya.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 pagi Jumaat lepas dan berakhir pada 10 malam ini, memfokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

-- BERNAMA