JASIN: Kerajaan negeri melalui Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) akan memperluas program 'Singgit Seposen' dalam usaha meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan amalan kitar semula dalam kalangan rakyat di negeri itu.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata menerusi program itu, sebanyak tujuh sisa iaitu minyak masak, fabrik, elektronik, tin aluminium, botol kaca, kertas dan botol plastik akan dibeli daripada pengguna pada harga antara RM0.10 hingga RM2.50 sekilogram, bergantung kepada kategori sisa terbabit.

"Konsep Kitar Semula 5R iaitu reduce, reuse, recycle, rethink dan repurpose bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran sumber alam semula jadi yang semakin terhad bahkan memberi impak positif kepada alam sekitar.

"Program Singgit Seposen bukan sahaja mendidik orang awam mengurus sisa buangan dengan lebih teratur tetapi komuniti juga dapat menjana pendapatan sampingan hasil barangan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program itu di Dewan Alamanda di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Mengulas Program Singgit Seposen yang berlangsung semalam, Rais berkata sebanyak 4,500 kilogram (kg) sisa kitar semula dijual oleh pengguna dengan jumlah pembayaran sebanyak RM2,300.

Beliau berkata ia terdiri daripada sisa minyak masak sebanyak 658 kg, fabrik (1,598 kg), elektronik (552 kg), tin aluminium (102 kg), botol kaca (146 kg), kertas (1,117 kg) dan botol plastik minuman (286 kg).

"Boleh saya katakan penganjuran program hari ini agak berjaya dengan jumlah kutipan sisa buangan yang diperoleh sekali gus membuktikan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat setempat di kawasan Jasin ini," katanya.

Rais berkata pada program itu, pengguna hanya perlu membawa sisa kitar semula mereka dan menjualnya secara pandu lalu.

Katanya selepas ini, program itu akan dianjurkan dengan kerjasama PTHM dan Majlis Perbandaran Alor Gajah pada Oktober depan.

-- BERNAMA