MALAYSIA

Program Sunat Perdana bawa kanak-kanak naik beca, tonjol warisan negeri

Bernama 28/12/2025 | 14:00 MYT
Hui Ying bergambar bersama kanak-kanak yang menyertai Program Sunat Perdana anjuran Liga Muslim Pulau Pinang di Bangunan Liga Muslim hari ini. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Program Sunat Perdana anjuran Liga Muslim Pulau Pinang meraikan peserta dengan pengalaman menaiki beca sebagai usaha mengekalkan tradisi dan menonjolkan keunikan warisan Pulau Pinang.


Ringkasan AI
  • Program Sunat Perdana anjuran Liga Muslim Pulau Pinang meraikan peserta dengan pengalaman menaiki beca sebagai usaha mengekalkan tradisi dan menonjolkan warisan Pulau Pinang.
  • Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Seri Haja Najmudeen Kader, menjelaskan bahawa program tersebut melibatkan kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun dengan tujuan memberi keseronokan, mengurangkan rasa gementar, serta memperkenalkan pengangkutan tradisional Pulau Pinang.
  • Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying, merasmikan program tersebut dan menyatakan sokongan terhadap inisiatif tersebut yang mencerminkan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial dalam menjaga kesejahteraan komuniti serta kesihatan kanak-kanak.


Presiden Liga Muslim Pulau Pinang Datuk Seri Haja Najmudeen Kader berkata inisiatif itu bertujuan memberi keseronokan dan mengurangkan rasa gementar dalam diri kanak-kanak selain memperkenalkan pengangkutan tradisional yang menjadi ikon warisan negeri.

"Program ini merupakan acara tahunan melibatkan 40 kanak-kanak berusia antara empat hingga tujuh tahun. Sebelum ini ada tradisi mengarak mereka dengan kuda tetapi tahun ini kami memilih beca.

"Dengan status George Town sebagai tapak warisan dunia, kami berharap pengangkutan ikonik ini terus dikenali dan tidak dilupakan generasi akan datang," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program itu di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong merasmikan program itu.

Haja Najmudeen berkata sebanyak 12 beca ditempah khas untuk membawa kanak-kanak itu mengelilingi sekitar Jalan Kapitan Keling sejauh 200 meter sebelum disiram air oleh bomba dan disusuli acara berkhatan di bangunan Liga Muslim Pulau Pinang di Lebuh Queen.

Sementara itu, Lim memuji inisiatif menggunakan beca bagi mewujudkan suasana ceria dalam kalangan kanak-kanak sekali gus membantu mengurangkan rasa takut mereka sebelum berkhatan.

Beliau berkata program itu juga mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan sosial serta tanggungjawab bersama-sama dalam menjaga kesejahteraan komuniti dan berharap dapat diteruskan bagi meningkatkan kesedaran kesihatan kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.

"Program seperti ini juga selari dengan usaha kerajaan mengukuhkan institusi keluarga serta memastikan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara kerana mereka aset paling berharga dan harapan masa depan negara," katanya.

Lim berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus memperkukuh inisiatif perlindungan kanak-kanak termasuk aspek keselamatan dalam talian dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

"Namun peranan ibu bapa tetap menjadi benteng pertama di rumah, khususnya dalam era digital yang semakin mencabar," katanya.

-- BERNAMA


#KPWKM #aspek keselamatan #dalam talian #era digital