PROGRAM Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), merupakan platform tuisyen secara bersemuka dan dimantapkan lagi dengan pembelajaran secara dalam talian, iltizam kerajaan negeri Selangor bagi memastikan kebajikan, kualiti hidup dan ekonomi rakyat terjamin.

Ketua Tanggungjawab Sosial & Komunikasi Korporat MBI Selangor, Ahmad Azri Zainal Nor, berkata program khusus ini bagi memastikan keseluruhan pelajar Tingkatan 5 di Selangor yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat menerima manfaat bagi memastikan kejayaan mereka dalam peperiksaan ini.

"Seramai 65,000 pelajar di negeri Selangor menerima manfaat PTRS yang bukan sahaja menyediakan bengkel pengajian percuma, malah modul mata pelajaran dan makan tengah hari secara percuma kepada calon SPM.

"Setakat ini, inisiatif PTRS telah menyaksikan kemajuan akademik pelajar serta menerima maklum balas positif daripada ibu bapa," jawab beliau ketika ditanya mengenai sambutan program.

Pada tahun 2022 sahaja seramai 10,000 calon SPM menerima manfaat dan ia akan ditingkatkan lagi pada tahun ini. 


AWANI Pagi: Inisiatif Selangor Bangunkan Pendidikan


Sementara itu, kerajaan Selangor juga menawarkan beberapa insentif lain dalam bidang pendidikan yang boleh dimanfaatkan anak-anak Selangor pelbagai peringkat umur.

"Terdapat RM2 juta subsidi yuran kemasukan universiti bagi yang memerlukan serta bantuan RM1,000 untuk 3,000 mahasiswa anak Selangor yang masuk universiti, manakala RM5 juta buat sektor TVET (Teknikal dan Vokasional) melalui Inisiatif Kemahiran Teknikal & Iktisas Smart Selangor (IKTISSAS)," ujar beliau.

Secara kumulatif, di sepanjang tahun 2018-2023, sejumlah RM40 juta bantuan pendidikan dan biasiswa diberikan Yayasan Selangor kepada hampir 8,000 anak Selangor untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Di samping itu, seramai 21,000 kanak-kanak menerima subsidi yuran tadika (Program TUNAS) dan 40,000 anak Selangor menerima subsidi yuran KAFA setiap bulan.

Semua usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri Selangor dalam meningkatkan taraf dan menyokong perkembangan pendidikan rakyat Selangor.

Ahmad Azri berharap dengan pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan, lebih ramai pelajar di Selangor dapat mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan dan memberikan sumbangan bermakna kepada negeri dan negara pada masa akan datang.

"Kita tidak mahu mana-mana kelompok pelajar terpinggir daripada mendapat akses bantuan pendidikan.

"Semoga mereka sama-sama menjadikan negeri Selangor menuju ke arah yang lebih unggul, maju serta kekal sebagai tonggak kepada pembangunan negara," tambahnya ketika ditemu bual dalam program Awani Pagi pada Isnin.

PTRS mula dilaksanakan pada 2009 menggunakan pusat komuniti sebagai premis tuisyen sebelum diperluas ke sekolah dan secara dalam talian susulan pandemik COVID-19.

Untuk maklumat lanjut tentang Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), layari laman web Iltizam Selangor Penyayang menerusi www.selangorpenyayang.com.