MALAYSIA

Projek Aerotrain: SPRM akan siasat jika ada unsur rasuah

Bernama 29/10/2025 | 08:10 MYT
Azam (foto) mengesahkan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan atau maklumat berkaitan projek berkenaan. -Gambar fail/Bernama
SUBANG JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti dan menjalankan siasatan sekiranya terdapat unsur rasuah atau penyelewengan dalam pelaksanaan projek Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang dilaporkan sering mengalami gangguan perkhidmatan.


Ringkasan AI
  • SPRM akan menyiasat projek Aerotrain KLIA jika terdapat laporan berkaitan unsur rasuah atau penyelewengan, namun setakat ini tiada aduan diterima.
  • Menteri Pengangkutan telah arahkan APAD membuka kertas siasatan terhadap MAHB susulan gangguan berulang perkhidmatan Aerotrain sejak Julai 2025.
  • Sebanyak 19 insiden gangguan direkodkan antara 2 Julai hingga 30 Sept, termasuk gangguan kuasa pada 15 Okt lalu.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bagaimanapun mengesahkan bahawa setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan atau maklumat berkaitan projek berkenaan.

"Sekiranya ada laporan, kita akan meneliti bentuk kesalahan tersebut. Tidak semua isu boleh diletakkan di bawah tanggungjawab SPRM kerana ada yang mungkin melibatkan aspek tatakelola.

"Jika terdapat kesalahan di bawah bidang kuasa kami, sudah tentu kita akan siasat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21 di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) susulan gangguan terbaharu perkhidmatan Aerotrain di KLIA.

Sejak kembali beroperasi pada Julai 2025, perkhidmatan tersebut telah mengalami beberapa gangguan, termasuk kejadian melibatkan gangguan kuasa pada 15 Okt lepas.

Awal bulan ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah memaklumkan di Dewan Rakyat sebanyak 19 insiden gangguan perkhidmatan direkodkan antara 2 Julai hingga 30 Sept lepas.

-- BERNAMA



#SPRM #Azam Baki #Aerotrain KLIA #MAHB