Projek DJM, inisiatif bantu komuniti nelayan mendepani musim tengkujuh

Afiezul Samit
November 10, 2021 14:36 MYT
Bakal berdepan dengan musim monsun timur laut bermula November hingga Mac, kebanyakan nelayan yang menggunakan bot kecil tidak akan turun ke laut menyebabkan hasil tangkapan berkurang. FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Projek Dana Jaminan Makanan (DJM) oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Laut Sarawak memberi nafas kepada komuniti nelayan.
Ditambah dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) oleh Kerajaan Pusat, komuniti nelayan Kampung Salak dan Kampung Buntal kini boleh mengusahakan produk hiliran sepanjang berdepan musim tengkujuh.
Dengan peruntukan lebih RM800,000, DJM membantu para petani dan nelayan dari segi peralatan bagi memastikan produktiviti sektor agro makanan mencukupi.
Bagi seorang nelayan Kampung Salak, Djoesman Supian, 50 tahun, ketika ditemui berkata, bantuan berterusan daripada kerajaan negeri membuatkan dirinya tidak terasa terpinggir sebagai komuniti nelayan.
30 tahun menjadi nelayan, Djoesman kini mula bergiat aktif menjadikan hasil tangkapan untuk dijual sendiri dan dijadikan produk hiliran.
"Melalui bantuan DJM, mereka membekalkan saya dengan mesin penimbang, papan pemotong, pisau pemotong daging, khemah dan peti insulasi.
"Jadi lebih selesa untuk berniaga dan dapat meningkatkan hasil produk jualan," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas Majlis Penyerahan Projek Bantuan Peralatan di Bawah DJM Tahun 2021 di Pejabat Perikanan Wilayah I, Santubong, pada Rabu.
Justeru, Djoesman menyeru komuniti nelayan lain mendaftar ke Persatuan Perikanan Laut Sarawak untuk memiliki lesen menangkap ikan di laut yang sah.
Sementara bagi Kolom Ben, 56 tahun, bantuan tersebut sangat membantu memandangkan operasi pengangkapan ikan di laut dilakukan mengikut musim.
Bakal berdepan dengan musim monsun timur laut bermula November hingga Mac, kebanyakan nelayan yang menggunakan bot kecil tidak akan turun ke laut menyebabkan hasil tangkapan berkurang.
Hal ini menyebabkan golongan tersebut tidak mampu menjana pendapatan seperti sediakala.
"Kami nelayan bot kecil sekiranya musim monsun timur laut hanya akan ke kawasan sungai untuk memancing.
"Jadi sekarang tangkapan berkurang, saya memproses ikan menjadi produk hiliran lain seperti ikan masin dan keropok.
"Saya akan memanfaatkan bantuan seperti ikan papan pemotong, tempat menjemur ikan dan peti insulasi yang telah diberikan untuk memproses produk hiliran untuk dijual," ujarnya.
Turut menghasilkan produk hiliran berasaskan ikan ialah seorang bekas nelayan, Mohd Keocheng, 63 tahun, yang kini menghasilkan belacan, cencaluk, keropok dan ikan masin untuk dijual.
“Saya mengusahakan dan menjual produk hiliran seperti ikan masin, belacan dan udang kering.
"Dengan inisiatif ini, ia nyata membantu saya memperoleh sumber pendapatan bagi menampung keperluan seharian," tambahnya.
Selain bantuan berbentuk peralatan memproses ikan, lima orang komuniti nelayan turut menerima sumbangan peranti Penjejak Lokasi Peribadi (PLB).
Salah seorang penerima, Rezli Libar, 58 tahun, berkata dia telah lama menginginkan peralatan tersebut namun belum mampu dimiliki.
"Memang PLB ini penting untuk kami komuniti nelayan kerana kita tidak tahu apa kemungkinan yang berlaku semasa di laut.
"Bukan kita meminta perkara buruk berlaku tetapi ini sebagai persediaan untuk memudahkan urusan menjejak dan menyelamat sekiranya hilang di laut," ujarnya.
Antara bantuan khas untuk para nelayan termasuk subsidi minyak diesel dengan harga RM1.65 satu liter, Bantuan Sara Hidup sebanyak RM300 sebulan dan bantuan musim tengkujuh sebanyak RM1500.
#Projek Dana Jaminan Makanan #komuniti nelayan Sarawak #Bantuan Sara Hidup #Sarawak Memilih