MELAKA: Projek Ekosistem Warisan Negara dilancarkan pada Isnin bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026 sebagai inisiatif membina ekosistem ekonomi tempatan yang mampan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Inisiatif yang diterajui bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim itu memberi fokus awal kepada sektor keperluan asas termasuk peruncitan, selain akan diperluas secara berperingkat kepada sektor perubatan, pendidikan dan perkhidmatan berkaitan kehidupan harian.
Azmi berkata, inisiatif berkenaan penting ketika ketidaktentuan bekalan bahan api global berpotensi meningkatkan kos barangan dan memberi tekanan tambahan kepada perbelanjaan isi rumah.
“Kita bertanggungjawab untuk bersama-sama dengan lain-lain pertubuhan dan sektor swasta, dalam memainkan peranan lebih aktif bersama kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, penyelesaian terhadap isu kos sara hidup tidak boleh bergantung kepada subsidi kerajaan semata-mata, terutama apabila kos barangan dan bekalan terus berubah akibat faktor pasaran global.
Pelaksanaan inisiatif itu akan bermula di Melaka dengan tumpuan awal memperkukuh kedai runcit tempatan, khususnya di kawasan luar bandar, menerusi penyelarasan bekalan, pengurusan stok dan sokongan operasi.
Azmi berkata, pembentukan rangkaian peruncitan yang lebih kukuh dijangka membantu pengusaha kedai kecil meningkatkan daya saing serta memperoleh akses kepada bekalan pada harga lebih baik.
“Pendekatan ini bertujuan membantu pengusaha kedai kecil meningkatkan daya saing, memperoleh akses kepada bekalan dengan harga yang lebih baik serta mewujudkan asas yang lebih stabil untuk membantu mengawal harga keperluan harian kepada pengguna.
"Ekosistem berkenaan kemudiannya akan diperluas secara berperingkat ke sektor lain yang memberi kesan langsung kepada kualiti hidup dan kos sara hidup rakyat, termasuk perubatan dan pendidikan," katanya.
Menurut kenyataan Ekosistem Warisan Negara, inisiatif itu turut mendapat sambutan baik daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, selaras dengan usaha kerajaan negeri yang memberi penekanan kepada kesejahteraan dan kepentingan rakyat.
Maklumat terperinci berkaitan pelaksanaan, kemudahan serta perkembangan Ekosistem Warisan Negara akan diumumkan secara berperingkat mulai hari ini menerusi saluran media sosial rasmi inisiatif berkenaan.
-- BERNAMA