Projek Ekskavasi Arkeologi di Pulau Melaka diteruskan - JWN

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tiga, kiri) dan Mohamad Muda (kiri) menunjukkan porselin dan duit syiling lama yang ditemukan di Pulau Melaka. - Gambar Bernama
MELAKA: Projek Ekskavasi Arkeologi di Pulau Melaka yang kini memasuki fasa keeempat akan diteruskan bagi mencari gali dan menyelamatkan artifak dan bahan sejarah yang masih terdapat di kawasan tambakan pasir di pulau itu.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohamad Muda Bahadin berkata, walaupun tempoh pencarian itu bagi fasa berkenaan yang bermula 24 Okt lepas berakhir pada 2 Nov, namun usaha berkenaan dilanjutkan selepas penemuan pelbagai artifak sejarah, antaranya serpihan kayu dipercayai rangka kapal purba era Kesultanan Melayu Melaka, porselin dan duit syiling lama era Kesultanan Mahmud Shah.
Beliau berkata, setakat ini kerja-kerja ekskavasi di kawasan berkenaan hanya melibatkan keluasan 12 x 12 meter tetapi keluasan itu dijangka bertambah dari semasa ke semasa mengikut kajian yang dilakukan.
"Projek ini kita akan teruskan sehingga selesai ... mungkin akan mengambil masa bertahun ... mungkin dua hingga tiga tahun atau mungkin lebih dan ia tertakluk pada kajian akan datang.
"Bagi fasa keempat ini, sebanyak 24 anggota daripada JWN, Perbadanan Muzium Melaka, pakar arkeologi dan sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan kumpulan sukarelawan terlibat dalam projek berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak ekskavasi berkenaan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, kerja-kerja cari gali berkenaan melibatkan kedalaman kira-kira tiga meter dan dijangka banyak lagi artifak dan penemuan sejarah dapat diperoleh sekiranya kerja-kerja eksplorasi di kawasan itu diteruskan.
"Sebagai contoh kedalamanan berkenaan boleh mencecah 10 hingga 20 meter sekiranya ia melibatkan kapal gergasi yang mempunyai struktur binaan besar dan panjang, berkemungkinan masih tertanam sebahagiannya di dasar tapak tambakan laut itu," katanya.
Mohamad Muda berkata, penemuan bahan sejarah itu akan dibuktikan menerusi kajian saintifik melibatkan pakar dalam dan luar negara, antaranya pakar sejarah dan arkeologi selain tukang atau pakar pembuatan kapal Melayu.
"Sebagai contoh, sampel kayu dipercayai rangka kapal itu akan turut dihantar ke makmal Beta Analytic di Amerika Syarikat untuk ujian pentarikhan dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia untuk dijalankan ujian analisa spesis kayu.
"Kerja-kerja konservasi kayu dari rangka kapal itu juga telah dibuat, antaranya proses nyah garam sebagai rawatan awal bagi mencegah kerosakan pada kayu," katanya.
Beliau berkata, dapatan bahan sejarah itu juga akan diperbincangkan secara ilmiah dalam persidangan khas melibatkan pakar berkaitan bagi memperkukuh pembuktian yang diperoleh sebelum ia direkodkan sebagai sejarah baharu khususnya untuk Melaka.
Untuk rekod, kerja-kerja ekskavasi di Pulau Melaka mula dilaksanakan JWN sejak 2021 secara berperingkat dan pelbagai artifak sejarah berkaitan Kesultanan Melayu Melaka, penjajahan Portugis, Belanda ditemukan, antaranya serpihan tembikar, porselin, duit syiling dan serpihan kayu dipercayai rangka kapal dagang yang telah karam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


