IPOH: Kerajaan akan melaksanakan projek pembangunan bersepadu Ipoh Central untuk memberi keselesaan kepada lebih 4,000 penumpang harian di Stesen Keretapi Ipoh, stesen yang paling sibuk selepas KL Central.

Dalam masa sama, bangunan warisan, termasuk stesen keretapi dan kuil-kuil yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan akan dikekalkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan juga bersetuju projek jangka panjang itu dilaksanakan secara usaha sama antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Perak.

"Jadi persefahaman antara kerajaan pusat melalui RAC dengan kerajaan negeri SSI. Kita akan bincang dan kita akan maklumkan dari masa ke semasa macam mana kita nak sama-sama membangunkan projek ini dengan mengambil kira nilai-nilai warisan yang perlu kita pelihara.

"Mana-mana kuil yang ada atau kuil Sikh ataupun Hindu masih dikekalkan tapi dalam satu bentuk pemeliharaan dengan konsep yang lebih moden di mana kita tak mengganggu tetapi kita mencantikkan lagi kawasan-kawasan ini," katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke Stesen Keretapi Ipoh, pada Ahad.

Menurutnya, projek itu akan dilaksanakan di atas kawasan rezab keretapi seluas kira-kira 27 hektar yang turut melibatkan hub pengangkutan lain seperti bas dan teksi.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada tempuh masa yang ditetapkan mengenai projek itu kerana ia memerlukan perancangan yang teliti.