Skip to main content

Malaysia

Projek JKR mesti siap ikut tempoh, kos dan kualiti ditetapkan - Nanta

KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan sidang media selepas Pelancaran Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan (NEC) 2026 hari ini.  Konvensyen yang diadakan selama empat hari bermula semalam, menghimpunkan lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada komuniti profesion kejuruteraan pelbagai bidang termasuk jurutera profesional, jurutera siswazah, jurutera teknologis, ahli akademik, penggubal dasar, pemain industri, pelajar serta wakil badan profesional dari dalam d
Nanta (foto) berkata kontraktor perlu memastikan ketiga-tiga aspek itu diberi keutamaan bagi mengelakkan projek berdepan kelewatan, masalah kualiti atau akhirnya dikategorikan sebagai projek sakit. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejayaan projek kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan kemampuan menyiapkannya lebih awal daripada jadual, sebaliknya perlu memenuhi tempoh, kos dan spesifikasi kualiti ditetapkan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kontraktor perlu memastikan ketiga-tiga aspek itu diberi keutamaan bagi mengelakkan projek berdepan kelewatan, masalah kualiti atau akhirnya dikategorikan sebagai projek sakit.

“…ia (sesuatu projek) bukan siap lebih awal daripada dijadualkan kalau ada masalah dengan kualiti. Lebih awal daripada dijadualkan maknanya ia mesti dicapai dalam kos ditetapkan dan juga dalam spesifikasi kualiti ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa bagi Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Perumahan di sini hari ini.

Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menyifarkan projek sakit dan terbengkalai, selain mempunyai prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan bagi memantau pelaksanaan projek.

Semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata trend projek sakit di bawah seliaan JKR terus menunjukkan penurunan kepada 4.13 peratus berbanding lima peratus sebelum ini, melibatkan 36 daripada 871 projek yang sedang dalam pembinaan.

Sementara itu, Nanta berkata projek pembinaan IPK Perak dan Perumahan bernilai kira-kira RM366 juta di Bandar Meru, Ipoh akan dilaksanakan dalam tempoh 42 bulan dan dijangka siap pada Februari 2030.

Beliau berkata projek strategik Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu akan dibangunkan oleh Serada Realty Sdn Bhd di tapak seluas 25 hektar bersebelahan Bulatan Sultan Azlan Shah.

Terdahulu, dalam ucapannya, Nanta mengingatkan kontraktor yang menerima SST supaya melaksanakan amanah diberikan dengan penuh integriti, tanggungjawab dan komitmen serta memastikan projek disiapkan mengikut spesifikasi, mencapai tahap kualiti terbaik dan dalam tempoh ditetapkan.

Beliau turut menekankan peranan Pegawai Penguasa untuk memantau kemajuan kerja secara proaktif, mengenal pasti isu di tapak serta mengambil tindakan penyelesaian segera bagi memastikan jadual dan prestasi projek tidak terjejas.

Dalam pada itu, KKR dalam kenyataan memaklumkan kompleks IPK Perak sedia ada telah berusia 58 tahun dan kini berada dalam keadaan sangat usang serta tidak lagi ekonomik untuk dibaik pulih secara menyeluruh.

Menurut KKR, pembinaan kompleks baharu itu dijangka meningkatkan keberkesanan penugasan dan kawalan keselamatan PDRM Perak, termasuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak lima peratus setiap tahun serta memperbaiki masa bertindak polis daripada 15 minit kepada 10 minit.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement