NATIONAL

Projek Lebuhraya MEX II: SPRM buka tiga kertas siasatan - Azam Baki

Madiha Abdullah 22/05/2025 | 13:47 MYT
Kata Azam, SPRM telah menahan sembilan individu dan merekodkan keterangan daripada 31 individu bagi membantu siasatan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tiga kertas siasatan dibuka melibatkan projek Sambungan Lebuhraya Maju (MEX II), kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Jelas Azam, pihaknya telah menahan sembilan individu dan merekodkan keterangan daripada 31 individu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kertas siasatan pertama membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM361 juta yang datang daripada dana sukuk, kes kedua membabitkan tuntutan palsu melibatkan RM416 juta dana sukuk dan RM50 juta pinjaman bank, manakala kes ketiga membabitkan pihak tertentu yang didakwa meminta dan menerima rasuah berjumlah sekitar RM12 juta.

"Kita juga menyita wang tunai RM1.9 juta, dua unit kenderaan model Porsche 911 dan Range Rover Sport dengan anggaran nilai RM900,000.

"Manakala pembekuan akaun perbankan adalah berjumlah kira-kira RM34 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini, pada Khamis.

Projek Lebuhraya MEX II sepanjang 18 kilometer dimulakan pembinaannya pada 2016 dan sepatutnya siap pada Disember 2019.

Ia dirancang untuk menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Awal bulan ini, Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk menyelesaikan kelewatan MEX II, yang didakwa terhenti susulan masalah kewangan.






#tuntutan palsu #SPRM #MEX II #KLIA