IPOH: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri mengkaji semula pelaksanaan projek melombong nadir bumi lantanid di Hulu Perak.

Pegawai Lapangannya, Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata jika ia diteruskan, dikhuatiri akan menjejaskan alam sekitar termasuk mengganggu hidupan liar di kawasan berkenaan.

"Projek ini terletak di koridor ekologi yang menghubungkan Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Bintang Hijau yang menjadi habitat kepada hidupan liar terancam termasuk harimau, gajah dan tapir.

"Projek ini akan menyebabkan kemusnahan kekal habitat di kawasan tersebut, ia perlu dikaji semula atau lebih baik dibatalkan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media berhubung isu itu, di sini pada Selasa.

Ujarnya lagi, kelulusan projek itu tidak berdasarkan kepada Rancangan Fizikal Negara, yang mana struktur berkenaan tidak boleh dibina sebelum laporan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) diluluskan.

Dakwanya, pihaknya mendapati sekurang-kurangnya 100 hektar keluasan hutan itu telah pun dibersihkan.

Katanya luas keseluruhan Central Forest Spine (CFS) adalah 15,307 hektar dan 2,161 hektar daripadanya untuk perlombongan lantanid sedangkan kawasan itu merupakan habitat kepada haiwan liar di sana.

"EIA telah dipamerkan kepada umum pada Julai 2021 sebelum mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS)  pada 11 Mei lalu.

"Namun kerja-kerja pembersihan hutan telah dimulakan di tapak lebih setahun sebelum diluluskan," dakwanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan, operasi perlombongan lantanid iaitu sejenis nadir bumi di Hulu Perak, masih belum dimulakan, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, imej yang ada di kawasan berkenaan adalah kerja-kerja awalan seperti membuat jalan dan kolam tadahan.

Menurutnya, imej yang dipaparkan melalui satelit itu adalah struktur lama yang dibuat untuk kerja-kerja awalan bagi mengenal pasti kehadiran bahan tersebut di kawasan berkenaan.