Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Projek mega bukti kepakaran tempatan kuasai teknologi baharu - PM

Madiha Abdullah 20/08/2025 | 09:23 MYT
Anwar merasmikan LRA Langat 2 di sini, hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
HULU LANGAT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepakaran anak tempatan mengendalikan projek mega yang menggunakan teknologi tinggi membuktikan keupayaan Malaysia dalam bidang pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti berskala besar.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kejayaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 membuktikan kepakaran anak tempatan dalam pengurusan fasiliti berskala besar dan teknologi tinggi.
  • Melalui RMK13, kerajaan komited meningkatkan siling ekonomi, memperkukuh daya saing domestik dan menarik pelaburan asing, dengan bekalan air dan tenaga sebagai prasyarat utama.
  • LRA Langat 2 bernilai RM4.2 bilion mampu membekalkan 1,130 juta liter air sehari kepada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan saluran air mentah dari Empangan Kelau melalui terowong sepanjang 44.6 kilometer.


Beliau berkata, antaranya adalah kejayaan pembinaan dan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2, yang menunjukkan kemampuan tenaga kerja profesional tempatan menguasai teknologi baharu hasil daripada latihan, peningkatan kemahiran serta dorongan berterusan daripada kerajaan.

“Projek raksasa dengan teknologi tinggi seperti ini tidak mungkin dapat dijayakan tanpa kepakaran teknikal dan profesional terlatih. Kita telah buktikan ini permulaan yang sangat membanggakan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan loji tersebut, pada Rabu.

Anwar menambah, melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan akan terus menumpukan usaha pada tonggak utama iaitu meningkatkan siling ekonomi negara, memperkukuh daya saing domestik serta menarik pelaburan asing, khususnya di Selangor.

Tegas Perdana Menteri, bekalan air dan tenaga adalah prasyarat asas untuk menarik pelaburan baharu, termasuk dalam sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor.

Justeru, selain daripada penyediaan infrastruktur, aspek tatakelola dan pengurusan yang bertanggungjawab juga perlu diberi keutamaan.

“Hebat mana pun sesebuah negara, kalau pengurusan lemah dan penyelewengan diremehkan, kita tidak dapat mempertahankan kredibiliti. Air dan tenaga adalah asas yang mesti dijamin sekiranya kita mahu meyakinkan pelabur antarabangsa,” katanya.

LRA Langat 2 di Hulu Langat ialah sebuah projek mega bernilai RM4.2 bilion yang dibangunkan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi meningkatkan kapasiti bekalan air terawat untuk penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dengan kapasiti 1,130 juta liter sehari (JLH), loji ini menerima bekalan air mentah dari Empangan Kelau di Pahang melalui Muka Sauk Sungai Semantan sebelum disalurkan ke Hulu Langat melalui terowong berdiameter 5.2 meter sepanjang 44.6 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa.


#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #LRA Langat 2 #projek mega