MALAYSIA

Projek naik taraf Lebuh Raya Senai-Desaru capai 55 peratus - Ahmad Maslan

Bernama 01/02/2026 | 06:45 MYT
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (dua, kanan) menunjukkan sebahagian jalan yang telah diturap ketika Lawatan Tapak Projek Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) hari ini. - Foto Bernama
KOTA TINGGI: Projek menaik taraf Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) kepada empat lorong berjalan lancar setakat ini dengan kemajuan 55 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2027.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek bernilai RM160 juta itu melibatkan tempoh pembinaan selama 30 bulan dan hingga kini tidak memerlukan sebarang lanjutan tempoh masa.

"Projek naik taraf ini melibatkan laluan sepanjang 9.34 kilometer dari Jambatan Sungai Johor (KM49.3) hingga Sungai Semenchu (KM58.7) dan dijangka memberikan kesan positif kepada sektor pelancongan di Desaru.

"Desaru ialah pusat pelancongan terkenal di Johor, dengan kemudahan empat lorong ini, lebih ramai pelancong termasuk dari Singapura dijangka berkunjung ke kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja Projek Menaik Taraf SDE di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya berharap laluan itu dapat disambung dari Sungai Semenchu sehingga penghujung lebuh raya pada masa hadapan.

"Kita berharap dari Sungai Semenchu itu akan ada sambungan. Mungkin akan ada berita baik kemudian dan biarlah menteri yang mengumumkannya," katanya.

Mengulas tentang pengurusan trafik sepanjang tempoh pembinaan, beliau berkata Program Pengurusan Trafik (TMP) yang dilaksanakan adalah efisien dan tidak menjejaskan aliran trafik sedia ada.

Ahmad berkata projek naik taraf SDE adalah antara keutamaan Kementerian Kerja Raya di Johor, selain pembesaran Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dari Senai Utara hingga Yong Peng Utara serta usaha menyelesaikan isu trafik di bandar raya Johor Bahru.

Beliau berkata sebelum ini, SDE juga disenaraikan sebagai antara lebuh raya yang kurang menguntungkan, namun yakin projek naik taraf itu akan meningkatkan aliran trafik dan prestasi kewangan lebuh raya berkenaan pada masa hadapan.

-- BERNAMA






#Lebuh Raya Senai-Desaru #naik taraf #Ahmad Maslan #sektor pelancongan