MALAYSIA

Projek naik taraf Terminal Larkin Sentral capai 52 peratus - Exco

Bernama 03/07/2025 | 21:45 MYT
Mohamad Fazli berkata, Projek naik taraf Terminal Larkin Sentral yang melibatkan peruntukan RM2.5 juta oleh kerajaan negeri kini mencatatkan kemajuan sebanyak 52 peratus, melepasi jadual asal iaitu 48 peratus. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Projek naik taraf Terminal Larkin Sentral yang melibatkan peruntukan RM2.5 juta oleh kerajaan negeri kini mencatatkan kemajuan sebanyak 52 peratus, melepasi jadual asal iaitu 48 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek yang bermula pada 8 April lepas dijangka siap sepenuhnya pada 8 Sept ini.

"Kerja-kerja naik taraf melibatkan pembinaan bumbung tambahan di pintu masuk utama, penyediaan platform bas berbumbung, pembaikan laluan masuk bas utama dan kerja menaik taraf pagar keselamatan di kawasan platform berlepas.

"Momentum prestasi yang baik ini diharapkan dapat diteruskan sehingga projek ini siap sepenuhnya tanpa sebarang kelewatan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, kerja naik taraf tandas di Platform A juga sedang dilaksanakan melibatkan tandas lelaki dan perempuan.

Menurut Mohamad Fazli, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan setiap projek yang dilaksanakan menepati jadual demi keselesaan rakyat dan memperkukuh imej Terminal Larkin Sentral sebagai terminal bas utama di bandar raya ini.

-- BERNAMA




#Facebook #tandas lelaki #Terminal Larkin Sentral #terminal bas utama