LIPIS: Kementerian Kerja Raya  akan memulakan projek pelebaran lorong Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak (KLK) yang akan dilaksanakan oleh ANIH Berhad selaku pemegang konsesi lebuh raya KLK mulai  Julai ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek pelebaran itu melibatkan kos RM2.1 bilion dengan jarak sejauh 45.3 kilometer.

"Kita menyediakan lebuh raya yang selesa, cepat, mudah dan cekap serta menangani isu kesesakan yang sering berlaku di Lebuh Raya KLK terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.

"KKR sentiasa mendengar keluhan rakyat yang terpaksa menghabiskan berbelas jam untuk pulang ke kampung terutama ketika musim perayaan kerana kesesakan luar biasa pada waktu puncak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri  Kerja Raya dan Parlimen Lipis di Arena Jubli Perak di sini pada Khamis.

Pada majlis itu Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan termos, sejadah, kain pelikat, kain batik dan wang tunai sebanyak RM100 riyal masing-masing kepada seramai 88 orang bakal jemaah haji daerah Lipis.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, skop kerja pelebaran KLK tersebut akan bermula dari Plaza Tol Gombak ke Persimpangan Mempaga, Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama di Bentong.

"Menerusi projek ini kita akan menambah  daripada tiga lorong kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 (dari Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi).

"Selain itu turut ditambah dua lorong kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 (dari Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong) sepanjang 45.3 kilometer," ujarnya.

Jelasnya lagi, skop kerja itu juga akan melibatkan tambahan pembinaan sebuah terowong dua buah lorong baharu yang akan dibina bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur dan penyediaan lampu jalan di sepanjang jajaran.

Tambahnya, kerja pelebaran berkenaan merupakan usaha kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat pada masa hadapan.