[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Projek pembinaan Kem Paradise, Kota Belud dijangka siap pada 2027

Bernama 01/10/2025 | 14:15 MYT
Ahmad berkata projek itu dijalankan Ilmiah Perdana Sdn Bhd sebagai kontraktor utama, dengan kerjasama PPK2 Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana. - Gambar Facebook KKR
KOTA BELUD: Projek Pembinaan Kem Paradise untuk Kem 5 Briged dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang bernilai RM179.7 juta dijangka siap pada Ogos 2027, dilihat akan terus memacu pembangunan pertahanan negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata projek yang bermula pada Mei tahun lepas itu, dibina di kawasan seluas 40.47 hektar merangkumi 42 komponen bangunan dan proses pembinaan berjalan lebih awal daripada jadual dengan kemajuan fizikal mencatatkan 10.26 peratus.

Beliau berkata pembinaan itu termasuk bangunan pentadbiran, blok teknikal, blok kediaman, fasiliti sokongan serta infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik dan sistem kawalan keselamatan.

"Setelah siap sepenuhnya, projek itu dijangka meningkatkan keanggotaan tentera daripada 311 anggota kepada 1,148 anggota pelbagai pangkat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad berkata peningkatan keanggotaan itu, bakal memperkukuh kesiapsiagaan pasukan keselamatan di kawasan pantai barat Sabah selain turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat melalui peluang pekerjaan, perniagaan serta pembangunan kawasan sekitar.

Beliau berkata projek itu dijalankan Ilmiah Perdana Sdn Bhd sebagai kontraktor utama, dengan kerjasama Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA




#bekalan air #RAMD #blok teknikal #bekalan elektrik