SHAH ALAM: Banjir kilat di Kampung Budiman di sini semalam yang menjejaskan kira-kira 50 rumah dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan berhampiran kampung berkenaan.

Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam ASP Syed Azizi Jamallulail Syed Abdul Aziz berkata banjir setinggi kira-kira satu meter itu bagaimanapun telah surut hari ini.

Beliau berkata kebanyakan mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Al Falah di kampung berkenaan sudah pulang ke rumah masing-masing bagi melakukan pembersihan.

"Punca banjir ini mungkin akibat terdapat kawasan tadahan air yang cetek dan kerja-kerja pembinaan di kawasan sekeliling kampung ini yang turut menyebabkan banjir lumpur.

"Sebelum ini, Kampung Budiman jarang berlaku banjir dan tidak seteruk ini. Semalam air naik dengan cepat hanya selepas beberapa jam hujan lebat," katanya kepada pemberita di PPS berkenaan hari ini.

PRU15 | Penduduk runsing banjir kilat masih belum selesai

Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 40 orang daripada 12 keluarga berlindung di PPS tersebut manakala lima orang daripada dua keluarga diasingkan di Dewan Orang Ramai Kampung Budiman kerana positif COVID-19.

Tinjauan Bernama di sekitar Pekan Meru, Klang yang terletak kira-kira empat kilometer dari Kampung Budiman tengah hari tadi mendapati beberapa kawasan masih digenangi air sedalam kira-kira 0.15 meter.

Nonarita Mohamed, 40, yang ditemui di kediaman ibu bapanya di Persiaran Hamzah Alang, Meru berkata berkata 'air termenung' itu adalah kejadian tahunan yang dialami sejak lebih 30 tahun lepas dan kebiasaannya mengambil masa selama seminggu untuk surut.

"Saya bersyukur banjir kali ini tidak seteruk tahun lepas, namun saya masih gusar dengan keadaan cuaca sekarang dan akan membawa ibu bapa saya tinggal dengan saya di Taman Meru Jaya sehingga banjir surut sepenuhnya," katanya.

Menurut laman web InfoBencanaJKM, tiga PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia dan PPS SK Binjai, Meru di Kapar dalam daerah Klang serta PPS Masjid Al Falah Kampung Budiman di daerah Petaling dibuka bagi menempatkan 669 mangsa banjir setakat tengah hari tadi.

-- BERNAMA