Projek Perolehan TDM: Bekas Panglima Tentera Darat direman 7 hari, 2 isteri turut direman

Ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis membenarkan tempoh reman selama tujuh hari terhadap seorang bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan projek perolehan TDM.
Ringkasan AI
- Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan reman bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) selama tujuh hari bagi siasatan projek perolehan TDM.
- Isteri pertama dan kedua bekas Panglima TDM juga direman untuk tempoh tiga hari dan enam hari masing-masing.
- Pegawai SPRM telah menyita enam akaun bank milik pegawai TDM dan keluarganya untuk membantu siasatan.
Pagi tadi kira-kira pukul 10 pagi, bekas Panglima TDM itu dilihat tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya berpakaian lokap SPRM dengan tangan bergari, bagi mendapatkan perintah reman berkaitan projek perolehan TDM.
Ketiga-tiga suspek dikawal ketat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejurus tiba di mahkamah.
Dilaporkan sebelum ini, lelaki itu bersama isteri-isterinya ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM semalam kira-kira pukul 7 malam Rabu.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan pegawai kanan TDM itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember tahun lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
SPRM juga hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan TDM sejak 2023.
Pada 29 Disember tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya menyita enam akaun bank milik pegawai itu dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan.
Dua hari sebelum itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan pegawai kanan tersebut diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


