SHAH ALAM: Dakwaan seorang wanita bahawa sebuah projek perumahan menjadi punca banjir besar yang melanda Taman Sri Muda, di sini pada 18 Disember lepas, adalah tidak benar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah, Izham Hashim.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor itu berkata, dakwaan wanita berkenaan bahawa ban telah pecah juga tidak benar.

Katanya lagi, fenomena taburan hujan antara 17 hingga 18 Disember lepas yang setinggi 400 mm, adalah punca utama limpahan air sehingga mencecah paras bumbung di sebahagian besar kawasan kediaman tersebut.

“Kita dah bagitahu taburan hujan (ketika itu) sekitar 400 mm, dan saliran kita hanya boleh menampung maksimum 100 mm. Dengan paras empat kali ganda, memang takkan dapat tahan air sebanyak itu kalau dalam fenomena terbaru ini.

“Kedua, projek perumahan ni, tak ada kena mengena dengan banjir, rumah ini sah. Memang milik pemilik tanah ini, ada tuan dia. Kita ada rekod dengan MBSA, dan saya dah lihat teliti, kebenaran merancang pun dah dapat pada 2015, dan submission diluluskan pada 2017,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial, dakwaan Datuk Nazilah Idris, yang merupakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Selangor, serta Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kota Raja, yang mengatakan projek perumahan berhampiran Pintu Air Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Taman Sri Muda merupakan punca bencana tersebut.

Mengulas lanjut, Izham berkata, berdasarkan rekod, pemaju perumahan tersebut telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), termasuk membina benteng serta kolam tadahan air bawah tanah.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan pam baharu di pintu air berkenaan, dijangka dapat memastikan aliran air berkapasiti tinggi, iaitu sekitar 5,100 liter per saat.

Selain itu, katanya lagi, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk membina satu lagi pintu air di taman tersebut, serta membesarkan lagi kolam tadahan sedia ada, sebagai langkah mengurangkan impak banjir di masa akan datang.