KUALA LUMPUR: Sebanyak 27 Projek Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 12,037 unit kediaman kini dalam fasa sedang dan akan dibina bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri.

Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sejak program itu mula dilaksanakan pada 1982, sebanyak 159 projek PPR merangkumi 99,296 unit rumah, telah siap dibina di seluruh negara.

"Bagi satu lagi projek untuk golongan B40 iaitu Rumah Mesra Rakyat (RMR), sebanyak 55,055 unit rumah telah siap dibangunkan, 4,181 unit sedang dalam pembinaan dan baki 657 unit dalam perancangan," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja, di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Akmal berkata setakat tahun lalu, sebanyak 108,373 unit Rumah Mampu Milik telah siap dibina, 131,573 unit dalam pembinaan, manakala bakinya dalam perancangan untuk mencapai sasaran 500,000 unit di dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.

Sementara itu, katanya setakat 28 Feb lalu terdapat 74 projek sakit dan terbengkalai bagi kategori harga di bawah RM150,000.00 direkodkan Jabatan Perumahan Negara yang sedang dalam pemantauan, perancangan serta pemulihan.

"Kementerian akan terus mengadakan kerjasama pintar dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu projek sakit dan terbengkalai.

"Harapan kita, kerajaan negeri juga mengambil inisiatif lebih menyeluruh dalam tangani isu ini, kerana ada sesetengah perkara melibatkan kuasa kerajaan negeri," katanya.

-- BERNAMA