LABUAN: Jalan pesisir pantai bernilai RM132 juta yang menghubungkan beberapa kampung dan kawasan perumahan ke pusat bandar di sini akan memberi impak positif kepada pembangunan pelancongan dan ekonomi, kata Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Beliau berkata jalan sejauh 5.1km yang dijadual dibuka pada September ini, akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna jalan raya di pulau bebas cukai itu seperti pengguna di Kg Tanjung Aru, Nagalang, Kerupang 1, 2 dan 3.

Beliau berkata, ia kini telah mencapai kemajuan sebanyak 96 peratus dengan hanya tinggal empat peratus bagi pembinaan pelebaran jalan di Jalan Sawangan Cina berhampiran Membedai.

Jalan pesisir pantai itu yang bermula dari Membedai ke Tanjung Aru itu akan meningkatkan jaringan pengangkutan di Labuan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Tun Mustapha. Projek itu bermula Disember 2017 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

"Saya gembira pembinaan jalan ini mengikut landasan yang betul... jalan pesisir pantai ini sudah pasti membantu mengatasi kesesakan lalu lintas di Jalan Tun Mustapha ke arah bandar," tambahnya.

"Dengan pemandangan laut sepanjang jalan, ia menawarkan pemanduan yang indah kepada para pemandu dan pelawat... Saya yakin jalan ini akan memberi kesan lelehan terhadap industri pelancongan Labuan.

"Jalan pesisir pantai ini akan menjadi pemboleh kepada kerajaan dan pelabur untuk mewujudkan lebih banyak produk pelancongan di seberang pantai," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berharap lebih banyak projek berkaitan pelancongan dibina di sepanjang jalan pesisir pantai itu.

"Sektor ini memainkan peranan penting untuk menyuntik pertumbuhan ekonomi negara. Peningkatan aliran pelancongan boleh membawa hasil ekonomi yang positif kepada sesebuah negara, terutamanya keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan peluang pekerjaan," katanya.

-- BERNAMA