Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

Projek Tebatan Banjir Sungai Kenau dijangka siap Nov 2026 - Wan Rosdy

Bernama 09/12/2025 | 03:20 MYT
Wan Rosdy berkata setakat ini kemajuan fizikal projek tebatan banjir itu mencapai 16.84 peratus, melebihi jadual 16.33 peratus dan mendahului empat hari daripada yang dirancang. - Gambar fail/BERNAMA
KUANTAN: Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau di Sungai Lembing di sini dijangka siap pada 27 Nov 2026, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.


Ringkasan AI
  • Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kenau di Sungai Lembing dijangka siap pada 27 Nov 2026, melebihi kemajuan fizikal pada 16.84 peratus daripada jadual yang ditetapkan.
  • Kerja-kerja mendalamkan, pengorekan, dan pengepaman sungai telah dilakukan bagi melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir.
  • Menteri Besar Pahang berharap projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan untuk memastikan kecekapan dan keselamatan masyarakat setempat.


Beliau berkata setakat ini kemajuan fizikal projek mencapai 16.84 peratus, melebihi jadual 16.33 peratus dan mendahului empat hari daripada yang dirancang.

"Kajian reka bentuk dan kerja-kerja berkaitan projek berkenaan bermula pada 28 Nov 2023," katanya ketika menjawab soalan Mohamad Ayub Mat Ashri (PN-Sungai Lembing) mengenai status projek tebatan banjir itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau menambah, kerja-kerja mendalamkan, pengorekan dan pengepaman sungai telah dilaksanakan bagi melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir.

"Tujuannya supaya air dapat mengalir lebih pantas dan banjir dapat dielakkan. Kerja-kerja pemeliharaan sungai turut dilaksanakan, selain pemeriksaan di tebing sungai," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) yang ingin mengetahui langkah jangka masa pendek kerajaan negeri sebelum projek tebatan banjir tersebut siap sepenuhnya.

Wan Rosdy berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA



#Wan Rosdy Wan Ismail #tebatan banjir #Sungai Lembing #Sungai Kenau #DUN pahang