Projek Tebatan Sungai Golok penyelesaian jangka panjang banjir - MB

Bernama
Februari 6, 2022 13:24 MYT
Ahmad berkata projek itu penting kerana terletak di kawasan yang bersempadan dengan negara jiran iaitu Thailand. - Gambar fail
KOTA BHARU: Projek tebatan banjir Sungai Golok di Rantau Panjang sehingga Tumpat dekat sini, yang bakal siap dua tahun lagi, mampu menyelesaikan masalah bencana itu di kawasan terbabit dalam tempoh jangka panjang.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata projek itu penting kerana terletak di kawasan yang bersempadan dengan negara jiran iaitu Thailand.
"Thailand sudah menyiapkan projek tebatan banjir mereka manakala Kelantan baru sahaja memulakannya dua tahun lepas.
"Insya-Allah, projek tebatan ini akan menyelesaikan masalah banjir di sekitar Rantau Panjang, Meranti dan Tumpat. Semasa banjir baru-baru ini, di Meranti kita tengok sudah tiada banjir hasil projek tebatan yang sedang dalam pembinaan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelantan Authentic Lifestyle and Arts (KALA Sentral) di Dataran Muhammadi, Bazar Tengku Anis di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan Datuk Hanifa Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan Ab Aziz Yunus.
Minggu lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat bersetuju menggariskan lapan langkah strategik penambahbaikan yang dibentang oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbincangan menekankan langkah serta perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan oleh kerajaan persekutuan dan negeri supaya bencana banjir tidak memberi impak besar kepada negara serta rakyat.
Ahmad juga berkata kerajaan negeri bercadang mewujudkan KALA Sentral di jajahan lain dalam usaha mengembangkan pasaran produk keluaran usahawan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) dalam kalangan anak tempatan.
-- BERNAMA
#Banjir 2021 #banjir kelantan #Sungai Golok #Ahmad Yakob